Wednesday, March 28, 2012

Boleh atau tidak non muslim guna kalimah Allah? part 1


بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ, الحمد لله رب العالمين, وصلى الله وسلم وبارك على نبينا محمد وآله وصحبه أجمعين. السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللَّهِ وَبَرَكَاتُهُ

Antara isu yg mencengkam umat Islam dewasa ini ialah penggunaan kalimah Allah oleh non muslim dalam kitab2 suci depa. Dalam hal ni, secara obvious penggunaannya oleh org2 kristian. Pelbagai pihak berdebat, berdiskusi dan bertengkar pun mengenai perihal ini. Malah, ianya digunakan oleh UMNO sebagai senjata menyerang PR terutamanya Khalid Samad dan Anwar Ibrahim kerana depa kelihatan agak leinient mengenai perihal ini.

Sebetulnya, boleh ke tak boleh kalimah Allah digunakan? Haram ke? Lari akidah ke? Hasan Ali cukup suka benar benda2 bab akidah ni (walhal akidah perjuangan dia hancus).

Sebetulnya, ini adalah satu lagi perkara khilaf. Tidak ada kesepakatan ulama dalam hal ni. Ulama yg aku maksudkan bukan ulama UMNO atau PAS tetapi ulama2 mufassirin, mujtahidin, muhadisin dan ulama2 fiqh sejak zaman dulu hingga kini. Dua pendapat obvious - satu pihak kata boleh guna dan satu pihak kata tak boleh guna.

Baik - mari kita bincangkan secara lebih detail, insya Allah.

Setelah menyemak dan membaca artikel demi artikel dan huraian oleh pelbagai pihak dalam isu ini, jelas bahawa perbezaan ini datang disebabkan target dan objektif setiap tulisan kelihatan cenderung kepada salah satu antara tiga perspektif berikut iaitu :-

1) Terdapat artikel dan ilmuan yang mengulas dari sudut hukum berdasarkan nas dan teks, tanpa dicampur aduk dengan perspektif lain.

2) Terdapat artikel yang kandungan isinya jelas berat kepada persoalan dakwah iaitu menjawab alasan Kristian dan mematikan hujah mereka, ia bukan memberi pandangan atas analisa teks Al-Quran.

3) Terdapat artikel yang diulas berat kepada isu kuasa kerajaan dan siyasah syar'iyyah.

4) Terdapat yang mengulas bagi meraih sokongan politik dan pengaruh. Bagi menunjukkan ‘kerterbukaan' bagi meraih sokongan bukan Islam, atau menunjuk kehandalan dalam mempertahankan Islam bagi mendapat sokongan orang Islam.

Justeru, aku berharap artikel ini mampu membantu pembaca menyusun idea dan kefahaman agar mampu menetapkan pendirian dengan lebih jitu dan tepat. Mampu memahami kepelbagaian dengan lebih saksama.

NAMA ALLAH DARI PERSPEKTIF TEKS AL-QURAN DAN HUKUM ASAL

Melihat dari perspektif ini, perbincangannya berkisar tentang soalan

"Adakah dibenarkan dari aspek hukum ‘Aqidah, untuk Kristian menggunakan nama Allah dalam urusan mereka?"

Dalam hal kefahaman hukum dari teks dan nas ini, ia tergolong dalam kategori hukum zhanni. Hasilnya, ilmuan berbeza pendapat dalam menentukan hukum yang paling tepat. Namun begitu menurut penelitian, dari PERSPEKTIF HUKUM AQIDAH yang berdasarkan kepada teks, hukum yang lebih kukuh adalah HARUS ATAU DIBENARKAN bagi Kristian atau lain-lain penganut agama lain untuk menggunakan nama ALLAH bagi merujuk kepada Tuhan.

Ulama yang mengharuskan bersandar kepada dalil dan teks berikut, antaranya ( Lihat kepada teks yang diwarnakan) :-

a. Firman Allah di dalam Surah az Zumar ayat 3

أَلَا لِلَّهِ الدِّينُ الْخَالِصُ وَالَّذِينَ اتَّخَذُوا مِن دُونِهِ أَوْلِيَاء مَا نَعْبُدُهُمْ إِلَّا لِيُقَرِّبُونَا إِلَى اللَّهِ زُلْفَى إِنَّ اللَّهَ يَحْكُمُ بَيْنَهُمْ فِي مَا هُمْ فِيهِ يَخْتَلِفُونَ إِنَّ اللَّهَ لَا يَهْدِي مَنْ هُوَ كَاذِبٌ كَفَّارٌ

Ertinya : Ingatlah, hanya kepunyaan Allah-lah agama yang bersih (dari syirik). Dan orang-orang yang mengambil pelindung selain Allah (berkata): "Kami tidak menyembah mereka melainkan supaya mereka mendekatkan kami kepada Allah dengan sedekat-dekatnya". Sesungguhnya Allah akan memutuskan di antara mereka tentang apa yang mereka berselisih padanya. Sesungguhnya Allah tidak menunjuki orang-orang yang pendusta dan sangat ingkar.

Ini jelas menunjukkan mereka menyembah berhala kerana ingin dekat kepada Allah. Justeru mereka sedar Allah itu Tuhan. Dan nama Allah itu telah digunapakai oleh mereka sejak dari dulu. Ayat ini menunjukkan situasi di waktu itu dan juga membawa implikasi hukum keharusan kerana Allah tidak membantah kafir memanggilnya sebagai Allah. Walaubagaimanapun, di dalam ayat ini dan ayat-ayat yang lain, Allah SWT membantah tindakan mereka menyekutukanNya. Sekiranya penggunaan itu salah, pastinya Allah akan menafikan perkataan kafir tadi dan mengelakkan dirinya dikait dengan keyakinan sesat kafir musyrik.

b. Firman Allah Surah Yunus ayat 18 :

وَيَعْبُدُونَ مِن دُونِ اللّهِ مَا لاَ يَضُرُّهُمْ وَلاَ يَنفَعُهُمْ وَيَقُولُونَ هَـؤُلاء شُفَعَاؤُنَا عِندَ اللّهِ قُلْ أَتُنَبِّئُونَ اللّهَ بِمَا لاَ يَعْلَمُ فِي السَّمَاوَاتِ وَلاَ فِي الأَرْضِ سُبْحَانَهُ وَتَعَالَى عَمَّا يُشْرِكُونَ

Ertinya : Dan mereka menyembah selain daripada Allah apa yang tidak dapat mendatangkan kemudaratan kepada mereka dan tidak (pula) kemanfaatan, dan mereka berkata: ""Mereka itu adalah pemberi syafaat kepada kami di sisi Allah"". Katakanlah: ""Apakah kamu mengabarkan kepada Allah apa yang tidak diketahui-Nya baik di langit dan tidak (pula) di bumi?"" Maha Suci Allah dan Maha Tinggi dari apa yang mereka mempersekutukan (itu)

Selagi lagi ayat ini menunjukkan kesalahan kafir musyrik adalah kerana menyengutukan Allah dengan mengambil berhala sebagai perantara dan bukan pada memanggil Tuhan sebagai Allah.

c. Firman Allah surah al-Ankabut ayat 63 :

وَلَئِن سَأَلْتَهُم مَّن نَّزَّلَ مِنَ السَّمَاء مَاء فَأَحْيَا بِهِ الْأَرْضَ مِن بَعْدِ مَوْتِهَا لَيَقُولُنَّ اللَّهُ قُلِ الْحَمْدُ لِلَّهِ بَلْ أَكْثَرُهُمْ لَا يَعْقِلُونَ

Ertinya : Dan sesungguhnya jika kamu menanyakan kepada mereka: ""Siapakah yang menurunkan air dari langit lalu menghidupkan dengan air itu bumi sesudah matinya?"" Tentu mereka akan menjawab: ""Allah"". Katakanlah: ""Segala puji bagi Allah"", tetapi kebanyakan mereka tidak memahami (nya)

Imam Fakhruddin Ar-Razi berkata ketika mengulas ayat dari surah Yunus dan Ankabut ini :

هذا يدل على أن المخاطبين بهذا الكلام كانوا يعرفون الله ويقرون به

Ertinya : Ini menunjukkan mereka yang ditujukan pertanyaan dan kata-kata ini ( iaitu puak kafir musryik), mereka telah pun sentiasa mengetahui tentang Allah dan sentiasa mengiktirafNya (sebagai tuhan). (Rujuk Tafsir Al-Kabir, 17/86)

d. Firman Allah surah Al-An'am ayat 136 :

وَجَعَلُواْ لِلّهِ مِمِّا ذَرَأَ مِنَ الْحَرْثِ وَالأَنْعَامِ نَصِيبًا فَقَالُواْ هَـذَا لِلّهِ بِزَعْمِهِمْ وَهَـذَا لِشُرَكَآئِنَا فَمَا كَانَ لِشُرَكَآئِهِمْ فَلاَ يَصِلُ إِلَى اللّهِ وَمَا كَانَ لِلّهِ فَهُوَ يَصِلُ إِلَى شُرَكَآئِهِمْ سَاء مَا يَحْكُمُونَ

Ertinya : Dan mereka memperuntukkan bagi Allah satu bahagian dari tanaman dan ternak yang telah diciptakan Allah, lalu mereka berkata sesuai dengan persangkaan mereka: ""Ini untuk Allah dan ini untuk berhala-berhala kami"". Maka saji-sajian yang diperuntukkan bagi berhala-berhala mereka tidak sampai kepada Allah; dan saji-sajian yang diperuntukkan bagi Allah, maka sajian itu sampai kepada berhala-berhala mereka. Amat buruklah ketetapan mereka itu.

Sahabat besar nabi, Imam Ibn ‘Abbas r.a ketika mengulas ayat ini berkata :

من إيمانهم إذا قيل لهم من خلق السماء ؟ ومن خلق الأرض ؟ ومن خلق الجبال ؟ قالوا : الله , وهم مشركون

"Dari keyakinan dan iman puak-puak kafir ini apabila ditanya siapa yang menciptakan langit?, dan siapa yang menciptakan bumi?, dan siapa yang menciptakan gunung?. Mereka telah menjawab : ALLAH, namun begitu mereka mensyirikkanNya."

e. Firman Allah surah Zukhruf ayat 87-88

وَلَئِن سَأَلْتَهُم مَّنْ خَلَقَهُمْ لَيَقُولُنَّ اللَّهُ فَأَنَّى
وَقِيلِهِ يَارَبِّ إِنَّ هَؤُلَاء قَوْمٌ لَّا يُؤْمِنُونَ يُؤْفَكُونَ

Ertinya : Dan sungguh jika kamu bertanya kepada mereka: ""Siapakah yang menciptakan mereka, niscaya mereka menjawab: ""Allah"", maka bagaimanakah mereka dapat dipalingkan (dari menyembah Allah)?

f. Firman Allah surah Al-Isra ayat 42 :-

قُل لَّوْ كَانَ مَعَهُ آلِهَةٌ كَمَا يَقُولُونَ إِذًا لاَّبْتَغَوْاْ إِلَى ذِي الْعَرْشِ سَبِيلاً

Ertinya : Katakanlah: ""Jika ada tuhan-tuhan di katakan, nescaya tuhan-tuhan itu mencari jalan kepada Tuhan yang mempunyai Arasy ( Tuhan yang sebenar)"

Imam Ibn Kathir ketika mengulas tentang kesalahan kafir musyrik dalam surah Al-Isra' ini berkata ia adalah kerana mereka mensyirikkan Allah dengan berhala-berhala mereka. Padahal mereka telah mengakui Allah sebagai Tuhan, itu tidak dicela, apa yang dicela adalah tindakan mereka mensyirikkan Allah dengan berhala mereka. Beliau berkata:

"Ayat ini boleh difahami iaitu arahan Allah kepada Nabi Muhammad untuk bertanya kepada kepada kafir musyrikin yang menyangka ada bagi Allah sekutu-sekutu dari kalangan makhluk yang sehingga dijadikan barang sembahan selain Allah, kononnya sebagai perantaraan mendekatkan diri kepada Allah." ( Tafsir al-Quran Al-Azim)

Jelas dari dalil-dalil ini menunjukkan nama Allah sebagai TUHAN TIDAK EKSKLUSIF kepada orang Islam sahaja, cuma orang Islam adalah eksklusif pada pandangan Allah kerana menggunakannya dengan betul dan tepat.

Dakwaan Dr Khalif Muammar (rujuk http://www.myislamnetwork.net/component/content/article/1-artikel-pilihan/48-why-non-muslims-cannot-use-the-word-allah-dr-khalif-muammar.html) yang mengatakan pengunaan nama Allah yang wujud dalam ayat-ayat di atas semuanya adalah sebelum diIslamisasikan adalah satu dakwaan tanpa bukti yang jelas.

Apakah dalil mukhassis yang ingin digunakan oleh beliau dalam menegaskan pandangan itu?. Jika surah al-Ikhlas ingin dijadikan dalil, maka surah ikhlas adalah suatu penjelasan konsep tauhid dan pengunaan nama Allah secara tepat sahaja. Ia bukan mukhassis kepada umum satu waktu kepada waktu yang lain. Justeru apakah dalil bagi menganggap Allah di zaman jahiliyyah yang disebut dalam ayat itu terhad kepada satu waktu tertentu, dan tidak selepas kebangkitan Nabi SAW ?

Bagi kita, ayat-ayat di atas tadi jelas menunjukkan pengunaan nama Allah bagi bukan Islam dibenarkan dari dulu sehingga sekarang bagi merujuk kepada Tuhan, tidak ada persoalan ‘Tuhan Umum' dan ‘Tuhan Khusus' dalam bab ini. Yang ada adalah kes kafir musyrik beriman kepada ketuhanan Allah tetapi mereka sesat kerana mensyirikkan Allah.

Dr Khalif juga berkata : "Here the word Allah cannot mean the true God because they don't know who Allah is simply because no prophet was sent to them. Therefore, the use of Allah here is to mean God in general."

Dakwaan ini agak ganjil bagi kita, kerana Nabi-nabi telah dihantar secara bersambung-sambung dari nabi Adam, walau dimusim ketiadaan nabi seperti zaman bapa nabi, beliau menggunakan nama Abdullah merujuk kepada syariat yang dibawa oleh nabi sebelumnya iaitu nabi Isa.

Justeru, Arab jahiliyah hakikatnya mengetahui siapa itu Allah dan boleh membaca berkenaannya melalui syariat Nabi sebelum Nabi Muhammad. Bukankah bapa saudara Khadijah bernama Waraqah Bin Nawfal yang meramal Nabi Muhammad akan menjadi Nabi, itu tahu siapa itu Allah melalui wahyu kepada nabi-nabi sebelum Nabi Muhammad (Rujuk riwayat pertemuan Khadijah dengan Waraqah dalam Sohih Muslim dan syarahnya oleh Imam An-Nawawi , begitu juga Fathul Bari oleh Ibn Hajar.)

Lihat pula bagaimana seorang penyair Jahiliyah bernama Lubayd Bin Rabi'ah selalu mempersembahkan syairnya, lalu baginda Nabi mengakui satu syair Lubayd yang ada menyebut nama Allah. Hadis Nabi ini berbunyi :-

أصدق كلمة قالها شاعر , كلمة لبيد بن ربيعة : ألا كل شيء ما خلا الله باطل

Ertinya : Sebenar-benar perkataan yang dikatakan oleh penyair (Jahiliyah) adalah perkataan Lubayd bin Rabiah yang berkata : "Ketahuilah semua perkara selain Allah adalah batil (hancur)" (Sohih al-Bukhari, dengan syarah Ibn Hajar ( Fathul Bari, Kitab al-Adab, no 6147, jil 10, hlm 660) ; Sohih Muslim, 15/8 cet. Darul Ma'rifat)

Jelas dari hadis ini bahawa Jahiliyyah dahulu sudah kenal Allah dan kekuasaan-Nya, Cuma mereka menyembah berhala sebagai perantara lalu syiriklah mereka.

Selain itu, bukankah terdapat dalam sirah nabawiyyah, apabila sahabat nabi menyebar kalimah tauhid kepada pemimpin kafir, sebahagian mereka memberi response :

إذن تحاربك العرب و العجم

"kalau begitu, ‘Arab dan ‘ajam (bukan arab) pasti akan memerangimu".

kata-kata mereka ini menunjukkan arab Jahiliyyah memahami erti nama Allah dan erti mentauhidkan Allah, tetapi mereka degil dan tetap mahu mensyirikkan-Nya dengan berhala mereka kerana itu adalah ajaran nenek moyang mereka dan mereka beroleh manfaat duniawi dari kepercayaan itu. Lalu pengakuan kalimah Shahadah bakal mengubah keseluruhan hidup mereka. (Fi dzilal al-Quran, Syed Qutb)

Maka oleh itu, dari dalil-dalil di atas, jelas Allah membiarkan nama-Nya digunapakai oleh kafir Musyrik apabila merujuk sebagai Tuhan pencipta, namun Allah ta'ala mengutuk dan membetulkan kesalahan mereka apabila mereka menyekutukan Allah dengan selain-Nya.

Justeru itu, jika Kristian di Malaysia atau dimana juga, jika mereka ingin menggunakan nama Allah merujuk kepada Tuhan pencipta, ia adalah benar, betul dan diharuskan. Kerana Allah sememangnya Tuhan dan pencipta dan maha berkuasa. Namun tindakan mereka mengaitkan Allah dengan trinity, berhala dan sebagainya adalah Syirik dan salah dan dikutuk oleh Allah sendiri di dalam Al-Quran. Pun begitu, pokoknya, mereka HARUS menggunakan nama Allah apabila ingin merujuk kepada Tuhan, kerana Allah sememangnya Tuhan, apa yang TIDAK HARUS adalah mensyirikkanNya dengan yang lain.

Malah penggunaan nama Allah dan pengakuan ketuhanan Allah ini juga dapat dilihat dalam syair-syair Arab Jahiliyyah, seperti syair oleh Ubayd bin Abras :

من يسأل الناس يحرموه * وسائل الله لا يخيب

Ertinya : Sesiapa yang meminta dari manusia, tidak diberi * dan yang meminta dari Allah tidak rugi.

Syair dari Uways Bin Hujr:

وباللات والعزى ومن دان دينها * وبالله إن الله منهن أكبر

Ertinya : dan demi Latta dan Uzza dan yang hampirinya* dan demi Allah, sesungguhnya Allah itu lebih besar dari mereka (berhala)(Al-Asnam, Ibn al-Kalbi, hlm 17)

JADI, ADAKAH KALAU MEMBENARKAN KITA AKAN JADI KUFUR KERANA IKTIRAF KESYIRIKAN MEREKA?

Tidak begitu, apa yang dibenarkan oleh Allah ta'ala sendiri adalah bukan Islam boleh guna nama Allah apabila merujuk kepada Tuhan, tetapi Allah mengutuk dan melarang mereka mensyirikkanNya. Justeru, itulah tugas umat Islam, berdakwah dan memperbetulkan keyakinan salah mana-mana kafir yang mensyirikkan Allah dengan yang selainNya. Kita tidak boleh menafikan benarnya dakwaan mereka bahawa nama Allah itu juga merujuk kepada Tuhan, apa yang kita mesti dan boleh nafikan hanyalah Allah itu tidak punyai anak, dan sekutu.

Atas asbab itulah wujudnya tugas berdakwah, bagi mengajak mereka kembali kepada mentauhidkan Allah. Jika kita telah atau sedang berdakwah, MEREKA TETAP DEGIL, Allah mengajar kita meletakkan pendirian seperti berikut :-

Biarkan mereka dengan agama dan keyakinan salah mereka dan pisahkan diri kita dengan keyakinan mereka. Pendirian ini nyata dari firman Allah berikut :-

وَإِن كَذَّبُوكَ فَقُل لِّي عَمَلِي وَلَكُمْ عَمَلُكُمْ أَنتُمْ بَرِيئُونَ مِمَّا أَعْمَلُ وَأَنَاْ بَرِيءٌ مِّمَّا تَعْمَلُونَ

Ertinya : Jika mereka mendustakan kamu, maka katakanlah: ""Bagiku pekerjaanku dan bagimu pekerjaanmu. Kamu berlepas diri terhadap apa yang aku kerjakan dan aku pun berlepas diri terhadap apa yang kamu kerjakan (Yunus : 41)

Firman Allah :-

وَإِذَا سَمِعُوا اللَّغْوَ أَعْرَضُوا عَنْهُ وَقَالُوا لَنَا أَعْمَالُنَا وَلَكُمْ أَعْمَالُكُمْ سَلَامٌ عَلَيْكُمْ لَا نَبْتَغِي الْجَاهِلِينَ

Ertinya : Dan apabila mereka mendengar perkataan yang tidak bermanfaat, mereka berpaling daripadanya dan mereka berkata: ""Bagi kami amal-amal kami dan bagimu amal-amalmu, kesejahteraan atas dirimu, kami tidak ingin bergaul dengan orang-orang jahil (Al-Qasas : 55)

Firman Allah :-

لَكُمْ دِينُكُمْ وَلِيَ دِينِ

Ertinya : Untukmulah agamamu dan untukkulah agamaku (Al-Kafirun : 6)

KESIMPULAN : Hasil dari beberapa petikan dan kumpulan teks al-Quran ini, majoriti ulama Islam di zaman silam sehingga hari ini dari pelbagai Negara telah berijtihad, hukum HARUS bagi bukan Islam untuk menggunakan nama Allah bagi merujuk kepada Tuhan. Namun kesalahan mereka yang perlu didakwah dan diperbetul adalah kerana menyekutukan Allah sahaja. Itulah juga pandangan yang terlebih kuat pada hemat kita. Namun perlu difahami, hukum HARUS di peringkat ini tidak semestinya akan berterusan pada setiap keadaan sehingga mesti dibenarkan oleh kerajaan Malaysia tanpa banyak soal. Satu faktor lain mesti diteliti iaitu faktor dakwah dan penjagaan konflik yang boleh mengugat keamanan.

Bersambung part 2.

1 comment:

  1. 'Namun tindakan mereka mengaitkan Allah dengan trinity, berhala dan sebagainya adalah Syirik dan salah dan dikutuk oleh Allah sendiri di dalam Al-Quran. Pun begitu, pokoknya, mereka HARUS menggunakan nama Allah apabila ingin merujuk kepada Tuhan, kerana Allah sememangnya Tuhan, apa yang TIDAK HARUS adalah mensyirikkanNya dengan yang lain.'
    Bukankah mereka akan menggunakan kalimah Allah itu didalam bible mereka? dan dgn itu mereka akan menyandarkan konsep triniti kepada Allah? mohon penjelasan..

    ReplyDelete