Monday, April 9, 2012

Menyusur Sinar Bulan - Tertubuhnya Jemaah Islam bahagian 2


بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ, الحمد لله رب العالمين, وصلى الله وسلم وبارك على نبينا محمد وآله وصحبه أجمعين. السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللَّهِ وَبَرَكَاتُهُ

Alhamdulillah, kita dah masuk bahagian kedua daripada siri perkongsian sejarah PAS secara detail. Menerusi bahagian 1, kita dah pun meneliti fakta bahawa gerakan umat melayu untuk menengahkan Islam dalam aspek sosiopolitik masyarakat telah pun berakar umbi sejak awal kurun ke-20. Ini jelas membuktikan bahawa perjuangan melayu pada ketika itu TIDAK BERPAKSI KEPADA BANGSA, tetapi BERPAKSIKAN AGAMA.

Kenapa begitu? Apakah benar dakwaan melayu itu Islam, dan Islam itu melayu? Tidak sebenarnya. Pada zaman itu, HANYA ORANG MELAYU SAHAJA di Tanah Melayu ini yang beragama Islam. Belum wujud lagi saudara2 baru pada ketika itu. Sebab itulah perjuangan depa mengenai agama pastinya melibatkan bangsa. Perjuangan sentiasa berubah2 mengikut peredaran zaman. Dalam Islam, ini digelar “murunah”.

Dalam bahagian 1 juga, kita telah menyaksikan betapa inisiasi untuk mewujudkan persatuan khas untuk ulama dan ilmuwan Islam telah berjalan dengan mesyuarat penajaannya telah diadakan di Muar pada awal tahun 1950. Insya Allah, kita akan menyambung penyusuran sejarah ini melalui bahagian 2 ini.

Allahumma salli ‘ala Muhammad.

*****

Pada akhiran bahagian 1, aku telah mengongsikan tulisan tajam Haji Ahmad Fuad seperti yg dimuatkan dalam lidah rasmi Suara UMNO –

para ulama tidak bersatu dan pengikutnya terpisah daripada beberapa kumpulan serpihan semata2 kerana urusan yang remeh temeh. Pada hakikatnya, keindahan Islam tidak terserlah tanpa kesatuan ulama. Kekuatan Islam tidak dapat diwujudkan tanpa kesatuan itu. Sebenarnya kesatuan ulama akan menjadi wadah untuk mencapai tujuan dan matlamat murni. Walaupun semua urusan agama dan pelbagai persoalan kemajuan terletak di tangan Duli-Duli Yang Maha Mulia, kemajuan2 itu tidak akan dapat dicapai seperti yang dikehendaki jika para ulama dan pakar Islam tidak berada di bawah satu barisan lantaran menasihati Duli-Duli Yang Maha Mulia berkenaan urusan2 dan kemajuan agama.

Seminggu selepas tersiarnya tulisan itu, dalam mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif UMNO bertarikh 30 Jun 1951, telah memutuskan bahawa satu persidangan ulama se-Malaya akan diadakan pada 23 Ogos 1951, bertempat di Kelab Sultan Sulaiman, Kuala Lumpur. Pada masa ini Haji Ahmad Fuad menjadi Pengerusi Jawatankuasa Penasihat Hal Ehwal Agamna UMNO selain daripada menganggotai Jawatankuasa Eksekutif UMNO Pusat.

Persidangan Alim Ulama yang kedua telah diadakan pada 23 Ogos 1951 di Kelab Sultan Sulaiman, Kuala Lumpur. Dalam persidangan ini Haji Ahmad Fuad telah mengemukakan tiga usul, iaitu melihat kembali resolusi yang telah dibuat semasda persidangan pertama di Muar (rujuk bahagian 1), loteri kebajikan UMNO* dan penubuhan Persatuan Ulama SeMalaya.

(*trivia – dalam fail S/U Agung UMNO. UMNO/SUG NO.76/1946 berkenaan loteri, beberapa persatuan negeri telah menimbulkan hal ini. Kesatuan Melayu Kedah telah mengutus surat krepada S/U Agung UMNO, Datuk Panglima Bukit Gantang bertanyakan kedudukan loteri ini, manakala Perikatan Melayu Perak mencadangkan diluluskan loteri ini kerana kebajikan.)

Persidangan itu telah dirasmikan oleh Dato Onn Jaafar dan dipengerusikan oleh Muhammad Fadlullah Suhaimi. Dalam ucapan perasmiannya, Dato Onn telah mengkritik ulama dan pegawai agama yang mengawal jabatan dan majlis agama negeri. Katanya –

Pada zahirnya persidangan yang diadakan di Muar sebelum ini menunjukkan kesatuan di antara segala pihak yang bertanggungjawab ata hal ehwal agama. Akan tetapi apakala hendak diikhtiarkan beberapa keputusan yang terbit di persidangan itu maka nyatalah bahwa persatuan itu hanyalah pada zahirnya sahaja. Kurangnya perwakilan daripadapihak jabatan agama dan majlis agama pada hari ini menunjukkan tidak adanya kesatuan. Tiap2 negeri dengan pendirian masing2 – terdapat sembilan mufti, sembilan kadi dan sembilan serba serbinya, maka perjalanannya juga menjadi sembilan cabang. Telah sampai masanya umat Islam menuntut haknya dan mendirikan sebuah Lembaga Jemaah Islam yang Tertinggi yang boleh dipercayai, diterima dan diakui oleh umat Islam di Malaya”.

Dua usul telah dibahas dan diluluskan manakala 20 lagi akan dibawa ke persidangan berikutnya. Usul pertama yang diluluskan ialah usul membaharui semula tindakan menubuhkan Lembaga Tertinggi agama Islam yang telah diputuskan dalam persidangan di Muar. Kedua, usul untuk menubuhkan sebuah Persatuan Alim Ulama. Perwakilan telah memutuskan untuk menjayakan usul pertama dengan membentuk satu jawatankuasa sementara yang dianggotai oleh lima orang –

1- Haji Abdul Hamid Fadzil
2- Haji Ahmad Fuad Hassan
3- Haji Muhammad Fadlullah Suhaimi
4- Haji Ghazali
5- Haji Abdullah Fahim

Tugas mereka adalah untuk menulis surat, mendapatkan tandatangan perwakilan dan mengajukan kepada Sultan untuk membentuk sebuah badan tertinggi agama yang ditadbir oleh Majlis Agama.
Bagi melaksanakan resolusi kedua, jawatankuasa lima orang ahli juga dilantik dan dipengerusikan oleh Haji Ahmad Fuad Hassan, S. Muhammad Shafie dari Kuala Lumpur dan Haji Ayub dari Perak. Dua lagi ahli dilantik oleh pengerusi, iaitu Saadun Zubir dan Muhammad Amin. Tugas jawatankuasa ini ialah untuk menguruskan penubuhan Persatuan Ulama dan merangka perlembagaan persatuan. Usaha ini berlanjutan sehinggalah ianya berjaya dibentuk dalam Persidangan Ulama Ketiga.

Persidangan Ulama Ketiga ini telah berlangsung di Bangunan Kelab Melayu Bagan di Butterworth pada 24 November 1951. Persidangan ini diadakan bukan lagi di bawah pentadbira UMNO dan segala perbelanjaan bagi persiapan mesyuarat ditanggung oleh pertubuhan2 yang menghantar wakilnya. Persidangan ini dikatakan tidak mendapat sambutan daripada pihak Sultan, malah Utusan Melayu melaporkan bahawa Raja Perlis sendiri menolak jemputan untuk merasmikannya. Perwakilan yang hadir terdiri daripada persatuan dan ortang perseorangan yang dianggarkan berjumlah 200 hingga 300 orang termasuk 20 wanita. Antara pertubuhan yang hadir ialah –

1- Persatuan Guru Agama Perlis
2- Persatuan Ulama Kedah
3- Persatuan Anak2 Rakyat Kalimantan Malaya (PARKAM)
4- Kelab Darul Ehsan dari Selangor
5- Kelab Melayu Persatuan al-Ihya as-Sharif, Gunung Semanggol
6- Perikatan Melayu Bersatu dari Seberang Perai dan Pulau Pinang
7- Lain2 badan kebanikan dan kelab dari Pulau Pinang

Persatuan al-Ihya as-Sharif diwakili oleh Ustaz Yahya Abdullah, Ustaz Harun Fahmi Taib, Ustaz Baharuddin Abdul Latif dan Ustaz Othman Hamzah. Persidangan ini sedikit berbeza dengan persidangan2 terdahulu di Muar dan Kuala Lumpur. Persidangan kali ini hanya akan membincangkan dua agenda sahaja, iaitu membentangkan draf perlembagaan Persatuan Ulama Se Malaya dan melantik jawatankuasa yang akan memegang portfolio Yang Dipertua Agong (YDP), Timbalan YDP, tiga Naib YDP, Setiausaha, Bendahari dan enam AJK Pusat. Majlis persidangan itu dimulai dengan bacaan ayat2 suci al Quran oleh Abdul Aziz Abdullah, manakala perasmian persidangan ini telah dilakukan oleh Haji Abdullah Fahim, Mufti Pulau Pinang dan Seberang Perai disebabkan Haji Ahmad Fuad keuzuran. Manakala ucapan Haji Ahmad Fuad telah dibacakan oleh haji Ahmad Maliki. Antara lain yang diperkatakan oleh beliau ialah –

Amal yang dilaksana secara fardiyyah pada kebiasaannya tidak memenuhi tuntutan untuk perkembangan agama dan ibu pertiwi. Persatuan Ulama bertujuan untuk merealisasikan kerjasama ini untuk membolehkan kita bekerja untuk perkembangan agama Islam, ibu pertiwi dan sermua saudara sesama Islam. Oleh itulah saya merayu kepada tuan2 dan berharap golongan ulama dan semua saudara seIslam akan bergabung di dalam persatuan ini.

Pada peringkat awal bagi menamakan persatuan ini timbul sedikit perselisihan antara perwakilan yang hadir. Terdapat tujuh cadangan nama yang hendak dipakai pada persatuan ini, tetapi daripada tujuh ini hanya PERSATUAN ISLAM SE-MALAYA yang telah dicadangkan oleh Muhammad Ma’sum dari Jamaah Masjid, Telaga Air, Butterworth yang diterima secara majoriti. Lain2 cadangan termasuklah Perikatan Ulama UMNO Malaya dan Persatuan Muslimin Tanahair (PERMATA).

Muktamar ini secara rasminya melahirkan Persatuan Islam Se-Malaya (PAS, kerana akronimnya berdasarkan tulisan jawi) dengan alamat pejabatnya di waktu itu di nombor 721, Kepala Batas, Seberang Perai. Permohonan pendaftaran dibuat di Pejabat Pendaftaran Pertubuhan Malaya, Pulau Pinang. Apabila hampir pilihanraya kebangsaan 1955, barulah kelulusannya diperolehi, iaitu pada 31 Mei 1955. Nombor pendaftarannya ialah no 773 (Pulau Pinang).

Mesyuarat kemudiannya terpaksa dibubarkan sementara kerana berlaku kesulitan di kalangan perwakilan. Para perwakilan menolak jawatan2 yang diberikan kepada mereka dalam persatuan ini disebabkan undang2 persatuan, fasal 22. Fasal ini menyebut –

Bab 1- Tiap2 seseorang yang menjawat Jawatankuasa Kerja di dalam PAS ini tidaklah boleh memasuki di dalam mana2 parti siasah yang lain

Bab 2- Sebarang yang berkenaan dengan sikap dan perjuangan persatuan ini tidak boleh disiarkan dengan tidak mendapat kelulusan dari Pejabat Agong.

Bab 3- Tiap2 ahli hendaklah patuh kepada peraturan2 dengan sukarela dan jujur.


Meskipun tidak ada masalah dengan bab 2 dan 3 fasal ini, tetapi ekoran kewujudan bab 1 di atas menyebabkan para perwakilan enggan menerima jawatan2 dalam persatuan tersebut kerana perwakilan yang hadir pada hari itu majoritinya adalah ahli UMNO. Jika mereka menerimanya bermakna mereka mestilah meninggalkan UMNO. Keadaan itu menyebabkan Haji Muhammad Ghazali yang menjadi pengerusi majlis telah mengadakan Mesyuarat Agung Khas selepas mesyuarat tersebut dibubarkan. Semasa Mesyuarat Agung Khas ini, Undang2 Disiplin Persatuan Islam SeMalaya Fasal 22 itu dimansuhkan. Ini bermakna setiap ahli boleh menjadi ahli mana2 parti politik yang ada pada masa itu.

Seterusnya, persidangan ini telah melantik saf kepimpinan persatuan yang baru dilahirkan itu. Perlantikan saf kepimpinannya dibuat melalui proses pengundian. Antara saf kepimpinan pertama seperti yang dilaporkan oleh Warta Negara bertarikh 26 November 1951 ialah –

1- Haji Ahmad Fuad Hassan sebagai YDP
2- Haji Muhammad Ghazali Haji Abdullah sebagai TYDP
3- Haji Hussein Che Dol sebagai NYDP Bahagian Utara
4- Fakir Mohamad Nor sebagai NYDP Bahagian Tengah
5- Abdul Rahman Jamaluddin al-Jambuli sebagai NYDP Bahagian Selatan
6- Haji Ahmad Maliki sebagai S/U Agung
7- Haji Ahmad Tuan Hussein sebagai Bendahari

Ahli2 Jawatankuasanya pula terdiri daripada

8- Ustaz Yahya Junid wakil Persatuan Ulama Kedah
9- Haji Uthman Talib wakil Negeri Sembilan
10- Haji Muhamad Nur wakil Segambut, Selangor
11- Haji Zabidi wakil Seberang Perai
12- Haji Abdul Wahab wakil dari Kuala Lumpur
13- Haji Isi’ya Qadi wakil Perak
14- Muhamad Mahzub wakil Negeri Sembilan
15- Haji Ahmad Badawi wakil Seberang Perai.

Pemeriksa kira2 adalah –

16- Haji Ahmad Mukhtar dari Pulau Pinang
17- Haji Ismail Said dari Anak Bukit, Kedah.

BERSAMBUNG BAHAGIAN 3.

No comments:

Post a Comment