Blog ini bukan medan dedah mendedah, jauh sekali lucah melucah. Blog ini adalah wadah ulas mengulas, jelas menjelas, hujah menghujah dan sanggah menyanggah segala isu politikal dan sosial tanahair - dari sudut pandang yang kritis atas kapasiti PERIBADI PENULIS melainkan dinyatakan sebaliknya.
Sunday, April 8, 2012
Demokrasi - apakah haram secara total? Menjawab persoalan..
بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ, الحمد لله رب العالمين, وصلى الله وسلم وبارك على نبينا محمد وآله وصحبه أجمعين. السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللَّهِ وَبَرَكَاتُهُ
Demokrasi adalah sebuah tema yang banyak dibahas oleh para ulama dan intelektual Islam. Untuk menjawab dan memosisikan demokrasi secara tepat kita harus terlebih dahulu mengetahui prinsip demokrasi berikut pandangan para ulama tentangnya.
Prinsip Demokrasi
Menurut Sadek, J. Sulaymân, dalam demokrasi terdapat sejumlah prinsip yang menjadi asas perlaksanaannya. Di antaranya:
• Kebebasan berbicara setiap warga negara.
• Pelaksanaan PRU untuk menilai apakah pentadbir yang berkuasa layak didukung kembali atau harus diganti.
• Kekuasaan dipegang oleh suara majoriti tanpa mengabaikan suara minoriti.
• Peranan parti politik yang sangat penting sebagai wadah aspirasi politik rakyat.
• Pemisahan kekuasaan legislatif, eksekutif, dan kehakiman.
• Kebebasan bersuara untuk setiap individu.
Pandangan Ulama tentang Demokrasi
Al-Maududi
Dalam hal ini, al-Maududi secara tegas menolak demokrasi. Menurutnya, Islam tidak mengiktiraf demokrasi yang memberikan kekuasaan besar kepada rakyat untuk menetapkan segala hal. Demokrasi adalah buatan manusia sekaligus produk dari pertentangan Barat terhadap agama sehingga cenderung ke arah sekularisme. Al-Maududi menganggap demokrasi moden (Barat) merupakan sesuatu yang bersifat syirik. Menurutnya, Islam menganut fahaman teokrasi (berdasarkan hukum Tuhan). Dan seperti yang kita tahu, penerapan teokrasi oleh barat pada zaman pertengahan memberikan kuasa ang tidak terbatas kepada gereja.
Mohammad Iqbal
Kritikan terhadap demokrasi yang berkembang juga diutarakan oleh intelektual Pakistan ternama M. Iqbal. Menurut Iqbal, sejalan dengan kemenangan sekularisme atas agama, demokrasi moden telah kehilangan sisi spiritualnya sehingga jauh dari etika. Demokrasi yang merupakan kekuasaan dari rakyat, oleh rakyat, dan untuk rakyat telah mengabaikan keberadaan agama. Parlimen sebagai salah satu tunggak demokrasi seringkali mampu menetapkan hukum yang bertentangan dengan nilai agama dengan persetujuan ahli2nya. Menurut Iqbal, Islam tidak dapat menerima model demokrasi Barat yang telah kehilangan basis moral dan spiritual. Atas dasar itu, Iqbal menawarkan sebuah konsep demokrasi spiritual yang dilandasi oleh etika dan moral ketuhanan. Jadi yang ditolak oleh Iqbal bukan demokrasi an sich, sebaliknya dia menolak praktis demokrasi yang berlangsung di Barat. Lalu, Iqbal menawarkan sebuah model demokrasi sebagai berikut:
- Tauhid sebagai landasan asasi.
- Kepatuhan pada hukum.
- Toleransi sesama warga.
- Tidak dibatasi wilayah, ras, dan warna kulit.
- Penafsiran hukum Tuhan melalui ijtihad.
Muhammad Imarah
Menurut beliau Islam tidak menerima demokrasi secara mutlak dan juga tidak menolaknya secara mutlak. Dalam demokrasi, kekuasaan legislatif (membuat dan menetapkan hukum) secara mutlak berada di tangan rakyat. Sementara, dalam sistem syura (Islam) kekuasaan tersebut merupakan hak mutlak Allah. Dialah pemegang kekuasaan hukum tertinggi. Hak manusia hanyalah menggubal dan merumuskan hukum sesuai dengan prinsip yang digariskan Tuhan serta berijtihad untuk sesuatu yang tidak diatur oleh ketentuan Allah.
Jadi, Allah berposisi sebagai al-Syâri’ (legislator) sementara manusia berposisi sebagai faqîh (yang memahami dan menjabarkan) hukum-Nya.
Demokrasi Barat berkisarkan pada pandangan mereka tentang batas hak Tuhan. Menurut Aristotle, setelah Tuhan menciptakan alam, Dia membiarkannya. Dalam falsafah Barat, manusia memiliki hak legislatif dan eksekutif. Sementara, dalam pandangan Islam, Allah mempunyai hak atas segalanya.
Allah befirman
Ingatlah, menciptakan dan memerintah hanyalah hak Allah. Maha Suci Allah, Tuhan semesta alam. (al-A’râf: 54).
Inilah batas yang membezakan antara sistem syariah Islam dan Demokrasi Barat. Adapun hal lainnya seperti membangun hukum atas persetujuan umat, pandangan majoriti, serta orientasi pandangan umum, dan sebagainya adalah sejalan dengan Islam.
Yusuf al-Qardhawi
Menurut beliau, prinsip demokrasi sejalan dengan Islam. Hal ini boleh dilihat dari beberapa hal. Misalnya:
- Dalam demokrasi proses pemilihan melibatkan banyak orang untuk memilih calon yang berhak memimpin dan mengurus keadaan mereka. Tentu saja, mereka tidak boleh akan memilih sesuatu yang tidak mereka sukai. Demikian juga dengan Islam. Islam menolak seseorang menjadi imam solat yang tidak disukai oleh makmum di belakangnya.
- Usaha setiap rakyat untuk memperbetulkan penguasa yang zalim dan terpesong juga sejalan dengan Islam. Bahkan amar makruf dan nahi mungkar serta memberikan nasihat kepada pemimpin adalah bagian dari ajaran Islam.
Rasulullah s.a.w bersabda, "jihad yang paling afdhal adalah perkataan yang benar di sisi pemerintah yang zalim" (riwayat Nasaie).
- Pilihanraya Umum termasuk jenis pemberian saksi. Oleh itu, barangsiapa yang tidak menggunakan haknya sebagai pemilih untuk memilih calon sehingga menyebabkan calon yang layak dipilih menjadi kalah dan suara majoriti jatuh kepada calon yang sebenarnya tidak layak, bererti dia telah menyalahi perintah Allah untuk memberikan kesaksian pada saat diperlukan.
- Penetapan hukum yang berdasarkan suara majoriti juga tidak bertentangan dengan prinsip Islam. Contohnya dalam sikap Umar yang tergabung dalam syura. Mereka ditunjuk Umar sebagai calon khalifah dan sekaligus memilih salah seorang di antara mereka untuk menjadi khalifah berdasarkan suara terbanyak. Sementara, calon lain yang tidak terpilih harus tunduk dan patuh. Jika suara yang keluar tiga lawan tiga, mereka harus memilih seseorang yang diunggulkan dari luar lingkungan mereka iaitu Abdullah ibn Umar. Contoh lain adalah penggunaan pendapat jumhur ulama dalam masalah khilafiyah. Tentu saja, suara majoriti yang diambil ini digunapakai selagi tidak bertentangan dengan nas syariat secara jelas.
- Juga kebebasan pers dan kebebasan mengeluarkan pendapat, serta kekuasaan pengadilan merupakan beberapa perkara dalam demokrasi yang sejalan dengan Islam.
Salim Ali al-Bahnasawi
Menurutnya, demokrasi mempunyai sisi yang baik yang tidak bertentangan dengan Islam dan juga ada sisi negatif yang bertentangan dengan Islam.
Sisi baik demokrasi adalah adanya kedaulatan rakyat selama tidak bertentangan dengan Islam. Sementara, sisi buruknya adalah penggunaan hak legislatif secara bebas yang boleh saja menghala pada sikap menghalalkan yang haram dan menghalalkan yang haram. Oleh itu, beliau menggagaskan Islamisasi demokrasi sebagai berikut:
- menetapkan tanggungjawab setiap individu di hadapan Allah.
- Wakil rakyat harus berakhlak Islam dalam musyawarah dan tugas-tugas lainnya.
- Majoriti bukan ukuran mutlak dalam penentuan keputusan yang hukumnya tidak ditemukan dalam Alquran dan Sunnah (al-Nisa 59) dan (al-Ahzab: 36).
Kesimpulan
Dari huraian di atas, dapat disimpulkan bahawa konsep demokrasi tidak sepenuhnya bertentangan dan tidak sepenuhnya sejalan dengan Islam. Prinsip dan konsep demokrasi yang sejalan dengan islam adalah penglibatan rakyat dalam mengawal, menaikkan, dan menurunkan pemerintah, serta dalam memperbaiki atau menegur pemimpin2 mereka.
Adapun yang tidak selari adalah ketika suara rakyat diberikan kebebasan secara mutlak sehingga mampu mengarah kepada sikap, tindakan, dan keputusan yang keluar landasan Islam. Kerana itu, maka perlu dirumuskan sebuah sistem demokrasi yang sesuai dengan ajaran Islam.
Antara cirinya:
1. Demokrasi tersebut harus berada di bawah payung agama.
2. Rakyat diberi kebebasan untuk menyuarakan aspirasinya
3. Penentuan sebarang keputusan sentiasa dilakukan dengan musyawarah.
4. Suara majoriti tidaklah bersifat mutlak meskipun tetap menjadi pertimbangan utama dalam musyawarah. Contohnya keputusan Abu Bakr ketika mengambil suara minoriti yang mendesak kerajaan memerangi kaum yang tidak mahu membayar zakat. Juga ketika Umar tidak mahu mengagihkan tanah hasil rampasan perang dengan mengambil pendapat minoriti agar tanah itu dibiarkan kepada pemiliknya dengan memadai diambil pajakan sahaja.
5. Musyawarah atau pengundian hanya berlaku pada persoalan ijtihadi; bukan pada persoalan yang sudah ditetapkan secara jelas oleh Alquran dan Sunnah.
6. Apa jua hukum dan keputusan yang diambil tidak boleh keluar dari nilai-nilai agama.
7. Hukum dan keputusan tersebut harus dipatuhi oleh semua warga.
Akhirnya, agar sistem atau konsep demokrasi yang Islami di atas terwujud, langkah yang harus dilakukan:
- Seluruh warga atau sebahagian besarnya harus diberi pemahaman yang benar tentang Islam sehingga aspirasi yang mereka sampaikan tidak keluar dari ajarannya.
- Parlimen atau lembaga perwakilan rakyat harus diisi dan didominasi oleh orang-orang Islam yang memahami dan mengamalkan Islam secara baik.
- Jika perlu bertahalluf, pastikan tahalluf itu tidak membawa kepada perkara2 yang lari daripada Islam dan mengutamakan kemaslahatan rakyat secara keseluruhan.
Wallahu a'lam.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
Sudah terang lagi bersuluh! Demokrasi memang sebuah sistem yang kufur sebab mengambil manusia sebagai penentu berhukum dan berundang2 sedangkan hak itu mutlak milik Allah. kalimah la illahaillah itu membawa maksud mengambil Allah sebagai tuhan yg disembah dan tuhan yang diturut. kalau hanya menyembah tetapi tidak menurut, maka kita mempersekutukan Dia; dalam bersembahyang kita sembah Allah, tetapi dalam berhukum kita ikut sistem manusia, maknanya kita ada dua tuhan! Jadi wahai saudara saudari semuslim, tinggalkan sistem demokrasi dan kembali memperlajari islam sebenar, islam yg dibawa rasulullah dan para khulafa ar rasyidin!
ReplyDeleteKonsep demokrasi yg ada dua belah pihak yg berlawananan ni sgt jauh sekali dgn konsep syura, islam lagi mengajak kpd penyatuan dlm apa2 hal pun. Corak pemerintahan mencorakkan rakyat. Soalan tabika kemas : macam mana nak capai kejayaan & kemakmuran kalau corak pemerintahan pun tak bersatu? Boleh jawab? Soalan dewasa pula : kenapa Israel memerintah negara meraka bkn menggunakan demokrasi? Jawab ahli2 bijak pandai sekalian.
ReplyDeletesgt setuju dengan blackstar..blackstar sgt mengenal fitnah akhir zaman..
ReplyDeleteAnda ulama? Ulama besar sudah setuju, kita org awam dan sikit ilmu ni, kena lah follow
ReplyDelete