Blog ini bukan medan dedah mendedah, jauh sekali lucah melucah. Blog ini adalah wadah ulas mengulas, jelas menjelas, hujah menghujah dan sanggah menyanggah segala isu politikal dan sosial tanahair - dari sudut pandang yang kritis atas kapasiti PERIBADI PENULIS melainkan dinyatakan sebaliknya.
Sunday, April 8, 2012
Menyusur Sinar Bulan - Tertubuhnya Jemaah Islam bahagian 1
بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ, الحمد لله رب العالمين, وصلى الله وسلم وبارك على نبينا محمد وآله وصحبه أجمعين. السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللَّهِ وَبَرَكَاتُهُ
Ramai org, termasuk ahli2 PAS sendiri (kecuali old timer) yang aku rasa masih tak tahu dari manakah PAS berasal. Yang kita tahu, PAS berasal dari serpihan UMNO pada 1951 ekoran bantahan daripada Bahagian Hal Ehwal Islam UMNO terhadap keputusan UMNO memperkenalkan loteri kebajikan. Namun, puak2 UMNO juga cuba menyebarkan khabar karut bahawa wujudnya PAS disebabkan Hj Ahmad Fuad kalah pemilihan presiden UMNO di tangan Dato Onn Jaafar lalu mewujudkan parti sendiri.
Maka, aku mengambil inisiatif untuk mengemukakan kajian sejarah sebenar mengenai perihal penubuhan PAS dan penglibatannya dalam senario politik negara sebelum merdeka. Fakta dan data yang aku garap ini adalah berdasarkan kajian intensif aku terhadap beberapa makalah arkib PAS dan juga merujuk kepada hasil kajian Dr Ismail Said yang dimuatkan dalam buku "Menegak Agama Membela Bangsa" yang mengkhususkan tentang perjuangan PAS sejak tahun 1950 hinggalah 1970. Hasil kajian akademik Dr Ismail Said ini merakamkan sejarah awal PAS, menjelang kemerdekaan daripada penjajah Inggeris dan perjuangan getir tahun-tahun awal selepas merdeka.
Kajian Dr Ismail ini menceritakan perjuangan PAS di bawah pemimpin-pemimpin awal Haji Ahmad Fuad Hassan, Dr Haji Abbas Alias dan Dr Burhanuddin al-Helmi. Hasil kajian yang dikemukakan dengan mudah menjawab dakwaan bahawa hanya parti nasionalis UMNO dan sekutunya sahaja yang memperjuangkan kemerdekaan, atau mereka sahaja pejuang tulen kemerdekaan.
Atas dasar kecintaan aku terhadap sejarah, dan kewajiban aku utk menangkis segala tohmahan mengenai PAS maka inilah sedikit sumbangan aku sebagai ilmu untuk semua.
Semoga kita akan mendapat manfaatnya bersama, insya Allah.
*****
"Setelah mencapai kemerdekaan sampailah kita kepada peringkat perjuangan mengisi kemerdekaan, dari sini bermulalah peringkat kedua perjuangan kita, peringkat jangka panjang perjuangan PAS.
Sebagai sebuah parti yang berideologi, kita berazam hendak mengisi kemerdekaan itu dengan ideologi kita sendiri, iaitu ideologi Islam atau Islamisme. Kita percaya dengan Islam sahajalah negara kita dan umat kita dapat dibawa ke arah keselamatan dan kebahagiaan yang sebenar-benarnya.
Dengan lain-lain perkataan bahawa tugas kita yang terpenting sesudah tercapainya kemerdekaan ialah berikhtiar supaya undang-undang dan peraturan yang diamalkan dalam masyarakat dan dalam pemerintahan negara, sesuai dengan apa yang diperintahkan Allah. Dengan itu barulah ada nilainya Islam itu sebagai agama pembimbing hidup kemanusiaan." - Prof Zulkifli Mohamad.
PAS telah ditubuhkan secara rasmi pada 23 Ogos 1951. Bagaimanapun, ada pandangan lain yang menyebut bahawa PAS ditubuhkan pada 24 November 1951. Dalam hal ini, pengkaji beranggapan bahawa PAS ditubuhkan secara rasmi pada 24 November 1951 kerana pada 23 Ogos itu, hanya dikemukakan idea penubuhannya sahaja. PAS adalah satu2nya parti politik melayu yang berteraskan Islam yang ditubuhkan sebelum merdeka sesudah Hizbul Muslimin (HAMIM) yang diharamkan oleh penjajah pada tahun 1948 bersama parti2 penuntut kemerdekaan lain (kecuali UMNO). PAS yang muncul pada tahun 1951 adalah atas dasar kesedaran masyarakat melayu pada masa itu untuk melihat Islam dapat ditegakkan dan didaulatkan di negara ini.
Golongan rerformis ini bukan sahaja berjaya menyedarkan masyarakat melayu tentang betapa pentingnya menghapus penjajah barat bagi mewujudkan negara yang berteraskan Islam, tetapi turut menyuarakan pendapat bahawa kelemahan umat Islam sebenarnya adalah berpunca daripada masyarakat Islam yang tidak mahu mengikut ajaran Islam yang sebenar dengan betul sebagaimana yang terkandung dalam al-Quran dan Sunnah.
Dalam usaha mereka menyedarkan masyarakat tentang pentingnya kembali semula kepada Islam, maka pada tahun 1906 mereka telah menerbitkanm akhbar Al-Imam. Selanjutnya pada tahun 1925 terbit pula akhbar Edaran Zaman di Pulau Pinang dan akhbar Al-Ikhwan pada tahun 1926 dan Saudara pada tahun 1928. Dengan terbitnya akhbar2 ini, golongan reformis atau Islah ini telah berjaya mencetuskan revolusi intelektual dalam kalangan masyarakat melayu dan akhirnya bibit kesedaran yang ditanam itu telah mendorong masyarakat melayu untuk menubuhkan beberapa persatuan bagi memajukan bangsa melayu dan umat Islam di negara ini.
Persatuan melayu pertama bercorak politik yang ditubuhkan di negara ini alah Kesatuan Melayu Muda (KMM) yang dipimpin oleh Ibrahim Yaakob, ditubuhkan pada tahun 1937 bertujuan untuk memperjuangkan kemerdekaan Tanah Melayu. Namun, ia tidak bertahan lama kerana diharamkan oleh Jepun semasa Jepun menguasai Tanah Melayu, Selepas tamatnya Perang Dunia Ke-2, Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) pula ditubuhkan pada 17 Oktober 1345 di Ipoh. Tujuan PKMM ditubuhkan ialah untuk memperjuangkan kemerdekaan negara ini sepenuhnya. PKMM berkembang pesat dan mempunyai beberapa sayap seperti sayap pemuda yang dikenali sebagai Angkatan Pemuda Insaf (API) yang dipimpin oleh Ahmad Boestamam, sayap wanita yang dikenali sebagai Angkatan Wanita Sedar (AWAS) dan Barisan Tani Se-Malaya (BATAS) untuk kaum petani. Selepas PKMM, lahir pula HAMIM dan UMNO.
Asas-asas kebangkitan
Menurut Safie Ibrahim, asas penubuhan PAS bermula apabila UMNO pada 11 dan 12 Mei 1946 telah bersetuju mewujudkan Bahagian Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan yang diketuai oleh mufti Pulau Pinang, Syeikh Abdullah Fahim. Beliau telah mengemukakan cadangan kepada UMNO untuk menganjurkan satu Persidangan Ulama secara besar2an seperti yang telah diusulkan oleh Majlis Agama Hilir Perak.
Persidangan alim ulama telah diadakan pada 21 dan 22 Februari 1950 di Muar, Johor, dan dihadiri 52 orang perwakilan UMNO dan 300 pemerhati. Semua negeri kecuali Pahang menghantar wakilnya, dan tiada wakil dari Madrasah al-Ihya as-Sharif Gunung Semanggol walaupun madrasah telah melahirkan ramai ilmuan Islam dan menjadi tempat tumbuhnya parti politik Islam yang pertama di Tanah Melayu. Perwakilan persidangan telah dibahagikan kepada empat; perwakilan dari badan2 agama, perwakilan dari UMNO bahagian, perwakilan dari UMMO daerah dan perwakilan organisasi2 melayu. Tiap2 bahagian UMNO berhak menghantar seorg wakil sementara majlis agama atau jabatan agama Islam negeri berhak menghantar 2 wakil.
Persidangan telah bermula pada jam 9.30 pagi dengan bacaan al Quran dan diikuti dengan ucapan2 oleh Ahmad bin Yaakub (s/u persidangan) dan haji Muhammad Nuh bin Umar (pengerusi persidangan). Dato Onn jaafar sebagai Presiden UMNO tidak dapat hadir untuk merasmikan persidangan ini kerana terpaksa berbincang dengan Henry Gurney, PJT British di Tanah Melayu mengenai soal kerakyatan Communities Liaison Committee (CLC). Ucapan Dato Onn telah dibacakan oleh Dato Syed Abdul Kadir Yusof, Pengerusi Tetap UMNO.
Dalam persidangan ini, sebanyak 34 cadangan telah dikemukakan tetapi hanya 8 yang sempat dibahaskan dan diputuskan kerana kekangan masa. Antara cadangan yang dibahas dan diluluskan ialah
1 - Merayu kepada kerajaan Arab Saudi supaya menurunkan cukai haji yang dikenakan kepada setiap jemaah haji sebanyak $360 dan menyediakan layanan yang lebih baik pada masa hadapan.
2 – Menubuhkan Kolej Islam.
3 – Meminta hari pertama Ramadhan dan Syawal diisytihar hari cuti umum.
4 – Mendesak Kerajaan Persekutuan supaya menubuhkan Majlis Agama di Melaka dan Pulau Pinang.
5 – Mengadakan hubungan antara majlis2 agama negeri.
6 – Diwujudkan derma pelajaran tinggi agama Islam bagi penuntut2 yang belajar di luar negara.
7 – Menubuhkan badan dakwah agama Islam.
Persidangan ini diberikan liputan besar2an oleh beberapa akhbar seperti Utusan Melayu (25 Februari 1950), Warta Negara (24 Februari 1950) dan Majlis (26 Februari 1950). Liputan luas ini menunjukkan pandangan ulama mula mendapat perhatian masyarakat. Ekoran daripada persidangan ini kemudiannya muncul satu tulisan lantang seorang alim muda dari Terengganu, Ustaz Ahmad Fuad Hassan yang ketika itu menganggotai Jawatankuasa Eksekutif UMNO Pusat, dalam lidah rasmi Suara UMNO –
“para ulama tidak bersatu dan pengikutnya terpisah daripada beberapa kumpulan serpihan semata2 kerana urusan yang remeh temeh. Pada hakikatnya, keindahan Islam tidak terserlah tanpa kesatuan ulama. Kekuatan Islam tidak dapat diwujudkan tanpa kesatuan itu. Sebenarnya kesatuan ulama akan menjadi wadah untuk mencapai tujuan dan matlamat murni. Walaupun semua urusan agama dan pelbagai persoalan kemajuan terletak di tangan Duli-Duli Yang Maha Mulia, kemajuan2 itu tidak akan dapat dicapai seperti yang dikehendaki jika para ulama dan pakar Islam tidak berada di bawah satu barisan lantaran menasihati Duli-Duli Yang Maha Mulia berkenaan urusan2 dan kemajuan agama.”
BERSAMBUNG BAHAGIAN 2.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment