Monday, January 30, 2012

POLEMIK PELAKSANAAN HUKUMAN HUDUD DI MALAYSIA - oleh Dato Zainul Rijal Abu Bakar

Mutakhir ini perbincangan mengenai pelaksanaan hukuman hudud mendapat tempat di dada akhbar arusperdana dan juga akhbar-akhbar alternatif. Ramai yang telah memberi kenyataan bagi menzahirkan pendirian mereka terhadap pelaksanaan hukuman hudud di Malaysia, Ada yang menyokong dan tidak ketinggalan juga yang menentang dengan memberi pelbagai alasan. Sebagaimana biasa ahli-ahli politik juga turut serta dalam perbahasan ini dan seolah-olah menjadikan isu ini isu politik.

Saya tidak berhasrat untuk menulis berkaitan isu ini dari perspektif politik tetapi lensa yang saya akan gunakan adalah lensa hukum syarak dan juga sistem perundangan di Malaysia. Saya juga cuba menulis semudah mungkin dan mengelak menggunakan terminologi dan bahasa perundangan yang menyebabkan ramai keliru tentang nukilan ini. Saya berharap nota ringkas ini dapat menzahirkan pandangan saya terhadap isu yang hangat diperkatakan ini tanpa merujuk kepada mana-mana kenyataan yang telah dikeluarkan terlebih dahulu oleh orang lain.

PRINSIP ASAS HUDUD

Bagi saya undang-undang hudud adalah sebahagian daripada ajaran Islam yang tidak boleh dipertikaikan. Orang Islam yang mempertikaikan hudud boleh dipersoal aqidahnya. Umpamanya jika seorang Muslim mengatakan undang-undang hudud adalah zalim dan mundur boleh dipersoalkan syahadah beliau kerana mereka menolak sebahagian daripada apa yang tersurat di dalam Al Quran.

Hudud ataupun kalimah mufradnya had adalah batasan-batasan yang telah ditetapkan oleh Allah swt. Kesalahan dan hukuman hudud adalah tetap. Antara kesalahan hudud ialah berzina qazaf dan mencuri. Perbahasan ulama telah banyak memperkatakan tentang kesalahan hudud tersebut.

Pembuktian hudud pula adalah pembuktian yang amat tinggi iaitu melampaui sebarang keraguan. Ini bermakna sekiranya terdapat sedikit keraguan atau tidak mengikut cara yang ditetapkan hukuman hudud tidak boleh dilaksanakan. Walau bagaimanapun sebagai gantinya hukuman takzir yang lebih ringan boleh dilaksanakan terhadap pesalah itu walaupun pembuktian hudud gagal. Berbeza dari fahaman sesetengah orang bahawa jika hudud gagal dibuktikan orang yang dituduh itu bebas sepenuhnya dari sebarang bentuk hukuman.

Perlu juga dizahirkan di sini bahawa undang-undang jenayah Islam terpakai kepada orang Islam sahaja. Orang bukan Islam tidak terikat dengan hukuman ini melainkan mereka sendiri berserah kepada undang-undang Islam untuk diadili.

PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN

Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutan memperuntukkan tiga senarai. Iaitu Senarai Persekutuan, Senarai Negeri dan Senarai Bersama. Parlimen boleh menggubal undang-undang yang terjumlah di dalam Senarai Persekutuan dan Senarai Bersama manakala Dewan Undang Negeri boleh menggubal undang-undang yang jatuh di dalam Senarai Negeri dan Senarai Bersama.

Perkara jenayah terletak di dalam item 4 Senarai Persekutuan. Oleh hal yang demikian jika undang-undang hudud tertentu seperti mencuri ingin digubal oleh Dewan Undang Negeri Pindaan terhadap Item 4 ini perlu dilakukan terlebih dahulu.

Walau bagaimanapun di dalam kes Sulaiman Takrib melawan Kerajaan Negeri Trengganu Mahkamah Persekutuan memutuskan frasa ‘precepts of Islam’ di dalam Item 1 Senarai Negeri bermakna ‘ perintah agama Islam’ bukan ‘rukun Islam’. Oleh itu Dewan Undangan Negeri mempunyai kuasa untuk menggubal undang-undang bagi mewujudkan kesalahan melanggar ‘perintah agama Islam’ tidak sekadar kesalahan melanggar rukun Islam.

Namun begitu walaupun telah ditafsirkan precepts of Islam adalah sebagai perintah agama Islam Dewan Undangan Negeri masih terhalang untuk menggubal undang-undang hudud seperti mencuri kerana ia masih tertakluk kepada Item 4 Senarai Persekutuan. Kesalahan hudud lain pada pandangan saya seperti berzina riddah dan qazaf walau bagaimanapun boleh digubal oleh Dewan Undangan Negeri tertakluk kepada undang-undang lain.

Perlu ditegaskan di sini bahawa Malaysia bukanlah sebuah negara sekular. Terdapat banyak peruntukan di dalam Perlembagaan Persekutuan yang memberi keistimewaan kepada Islam. Berhujah dengan menggunakan penghakiman di dalam Che Omar Che Soh sebagai menyatakan Malaysia adalah sebuah negara sekular adalah tergelincir dari semangat penghakiman tersebut sendiri. Penghakiman Tun Salleh Abbas dalam kes tersebut tidak pernah mengisytiharkan Malaysia sebagai sebuah negara sekular.

Adalah salah jika kita katakan undang-undang hudud tidak boleh digubal kerana negara Malaysia adalah negara sekular. Sila baca penghakiman-penghakiman mahkamah yang menyatakan tentang kedudukan agama Islam, mahkamah syariah dan pengertian Islam sebagamana yang telah diputuskan di dalam kes-kes seperti Meor Atiqurrahman mlwn Fatimah Sihi (Mahkamah Tinggi), Latifah Mat Zain mlwn Rosmawati Sharibuun (Mahkamah Persekutuan), Lina Joy mlwn Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (Mahkamah Persekutuan), Sulaiman Takrib mlwn Majlis Agama Islam Trengganu (Mahkamah Persekutuan) dan banyak lagi.

UNDANG-UNDANG LAIN

Walaupun kesalahan berzina dan qazaf boleh ditafsirkan sebagai kesalahan melanggar perintah agama sebagaimana yang termaktub dalam Perlembagaan hukuman hudud sebagaimana yang telah ditetapkan di dalam Al Quran tidak dapat dijatuhkan kerana Dewan Undangan Negeri tidak ‘berkemampuan’ menggubal hukuman tersebut sebagai hukuman selepas disabitkan. Akta Bidangkuasa Jenayah (Mahkamah Syariah) 1984 hanya memperuntukkan Dewan Undangan Negeri boleh mengadakan kesalahan melanggar perintah agama Islam yang hukumannya tidak melebihi tiga tahun penjara lima ribu ringgit denda dan enam kali sebatan.

Dalam hal yang demikian selagi Akta ini tidak dipinda hukuman maksimum yang boleh dikenakan adalah sebagaimana yang telah dinyatakan di atas. Akta ini telah menghalang pelaksanaan hukuman hudud sebagaimana yang ditentukan oleh Al Quran dan Al Sunnah. Akta ini perlu dimansuhkan terlebih dahulu sebelum Dewan Undangan Negeri dapat menggubal undang-undang bagi meaksanakan hukuman hudud.

PERANCANGAN

Taraf Mahkamah Syariah masih jauh lebih rendah dari mahkamah sivil dari sudut perjawatan, prasarana, gaji dan bidangkuasa. Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Islam pada bulan Julai lepas telah meluluskan syor penstrukturan semula mahkamah syariah yang akan mewujudkan 5 peringkat mahkamah sebagaimana mahkamah sivil. Hakim-hakim mahkamah tinggi syariah ke atas tidak akan lagi diletakkan sebagai penjawat awam tetapi dalam skim khas sebagaimana rakan mereka di mahkamah sivil.

Dengan pewujudan skim khas ini sudah pasti peranan mahkamah syariah menjadi besar dan mempunyai justifikasi untuk mendapatkan lebih banyak bidangkuasa. Ini termasuklah memansuhkan Akta Bidangkuasa Jenayah (Mahkamah Syariah) 1984 bagi membolehkan sebahagian hukuman hudud dilaksanakan tanpa perlu pindaan Perlembagaan.

Strategi ini juga bagi membolehkan mahkamah syariah bersedia menerima kes-kes hudud yang lebih kompleks berbanding dengan kes kekeluargaan sahaja. Jika dengan tiba-tiba sahaja mahkamah syariah diberikan kuasa melaksanakan hukuman hudud sedangkan prasarana dan persediaan tidak mencukupi adalah dikhuatiri ia akan menjadi fitnah kepada agama Islam pula. Difahamkan Majlis Raja Raja akan bersidang pada bulan Oktober ini bagi membincangkan syor penstrukturan semula Mahkamah Syariah ini dan diharapkan ia dapat dipekenankan oleh DYMM Raja Raja Melayu.

KESIMPULAN

Melaksanakan Undang-Undang Hudud adalah kewajipan orang Islam. Namun masih terdapat halangan-halangan yang perlu dilupuskan bagi melaksanakan undang-undang hudud di Malaysia. Semua pihak perlu ikhlas di dalam usaha bagi melaksanakan undang-undang hudud di Malaysia.

Mahkamah Syariah perlu bersedia menerima kes-kes hudud untuk didengar oleh mereka. Latihan dan pengalaman perlu dicari bagi mengelakkan penghakiman kelak bertentangan dengan prinsip Islam itu sendiri disamping mengelakkan salahtanggapan terhadap agama Islam. Kerjaan Perseketuan perlu segera meminda Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan dan memansuhkan Akta Bidangkuasa Jenayah (Mahkamah Syariah) 1984 bagi membolehkan negeri-negeri menggubal undang-undang bukan sahaja hudud tetapi undang-undang lain yang melanggar perintah agama Islam.

Dalam masa yang sama, perlu juga dipentingkan bahawa dalam keadaan kegawatan ekonomi, sosial dan kebejatan akhlak umat Islam yang begitu ketara, factor-faktor non-legal ini juga perlu diberi penekanan. Sistem ekonomi, pendidikan, tataatur masyarakat dan pemantapan aqidah perlu juga diperbaiki seiring dengan tuntutan melaksanakan hukuman hudud di Malaysia.

Hudud adalah batasan-batasan yang telah digariskan supaya umat Islam tidak melanggarinya. Batasan-batasan ini bukan hanya dalam aspek jenayah sahaja tetapi juga dalam setiap detik kehidupan kita. Janganlah diambil Islam itu dalam kompartmen tertentu sahaja tetapi Islam semestinya diambil secara keseluruhannya.

Adalah amat penting mendapat komitmen daripada Kerajaan Persekutuan bagi melaksanakan hukuman hudud ini. Tanpa pindaan Perlembagaan dan pemasuhan Akta Bidangkuasa Mahkamah Syariah 1984 mungkin undang-undang hudud akan dicabar di mahkamah kelak. Sudah sampai masanya umat Islam bersatu bagi membuang semua halangan bagi pelaksaan undang-undang Islam bukan memberi pelabagai alasan untuk tidak melaksanakannya.

Adalah amat menyedihkan di dalam menegakkan hujah masing-masing terdapat golongan yang telah menegenepikan tuntutan Al Quran dan seolah-olah mempertikaikan nas-nas yang sahih di dalamnya.

No comments:

Post a Comment