Friday, January 27, 2012

BN menang, Bankrap Negara!

Dalam jangkaan kita bahawa segala perbelanjaan di dalam Bajet 2011 berjalan lancar, mungkin ada sesetengah perkara yang tidak mereka jelaskan dengan lebih jujur dan telus tentang kedudukan kewangan negara kita yang sebenar-benarnya.

Kerajaan Malaysia dijangka berdepan dengan saat-saat gentingnya untuk menyelesaikan hutang sebanyak RM101.65 bilion dalam tempoh tiga tahun, iaitu dari tahun 2010 hingga 2012, apabila Sekuriti kerajaan Malaysia (bon kerajaan) dan Sukuk yang berjumlah ratusan bilion ringgit ini sampai tarikh tebusannya.

Nilai tersebut yang mencakupi 30% daripada jumlah hutang awam dalam negeri ini tidak termasuk hutang negeri asing yang bernilai RM6.2 bilion dan pinjaman daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang berjumlah RM7.2 bilion. Dan jumlah ini perlu diselesaikan pada tahun 2012 nanti.

KWSP juga merupakan “khazanah” terbesar bagi kerajaan persekutuan, apabila membekalkan pinjaman sejumlah RM56.59 bilion kepada kerajaan persekutuan dan GLC (Syarikat berkaitan kerajaan) dan badan-badan ini masih berhutang RM48.36 bilion daripada KWSP sehingga hari ini.

Sekiranya jumlah ini ditambah pula dengan RM93.11 bilion yang dilaburkan oleh KWSP ke atas bon kerajaan, maka jumlah dua angka ini mencakupi 40% daripada jumlah dana yang ada dalam KWSP. Dengan kata lain, KWSP menggunakan 40% wang pencen yang disimpan oleh pekerja Malaysia untuk menampung perbelanjaaan kerajaan persekutuan atau GLC.

Ini sebenarnya mencerminkan betapa pembaziran dan kurangnya disiplin kerajaan dalam mengendalikan kewangan negara sejek krisis ekonomi yang melanda negara pada tahun 2007. Sepanjang hampir 13 tahun yang lalu, kerajaan tidak bersungguh-sungguh untuk mengurangkan defisit dan hutang yang dipikul, dimana ianya menjurus kepada saat-saat genting kepada kerajaan untuk membayar hutang bon dan sukuk sebelum menjelang tahun 2013.

Kerajaan Malaysia sebenarnya mempunyai peluang untuk mencapai keseimbangan belanjawan dalam tempoh 13 tahun yang lalu, namun kerajaan masih memilih untuk mengekalkan belanjawan defisit pada paras purata 4.3%. Dan pada masa yang sama, hutang kerajaan pula melonjak dengan mendadak selepas krisis ekonomi, dari RM 90 bilion(32% berbanding KNDK ) kepada hampir RM 350 bilion(51% berbanding KDNK) pada tahun keangan berakhir 2009.

Kerajaan Malaysia memang bermasalah dalam disiplinnya ketika mengendalikan kewangan. Pada hakikatnya, kerajaan Malaysia berupaya untuk menyeimbangkan belanjawannya pada ketika harga pasaran antarabangsa minyak melonjak 2 tahun lepas. Namun, kerajaan persekutuan telah terlepas peluang keemasan ini.

Ekonomi Malaysia telah menurun, jikalau dibandingkan dengan beberapa tahun yang lalu. Kini, kerajaan bukan sahaja berdepan dengan masalah kekurangan pendapatan, malah perlu mengekalkan perbelanjaan yang besar untuk merangsang ekonomi. Jadi, adalah sukar untuk kerajaan mencapai matlamat menyeimbangkan belanjawan.

Dan sekarang, dengan beberapa projek-projek mega yang menanti seperti yang diumumkan di dalam Bajet 2011 iaitu pembinaan Menara Warisan dan sebagainya, adakah kerajaan persekutuan mampu untuk menyelesaikan kemelut kewangan mereka ini? Sekiranya tidak, ia secara langsung akan melibatkan seluruh rakyat Malaysia dalam hal ini.

P.S. Kami tidak mahu Malaysia menjadi seperti Greece.

No comments:

Post a Comment