Blog ini bukan medan dedah mendedah, jauh sekali lucah melucah. Blog ini adalah wadah ulas mengulas, jelas menjelas, hujah menghujah dan sanggah menyanggah segala isu politikal dan sosial tanahair - dari sudut pandang yang kritis atas kapasiti PERIBADI PENULIS melainkan dinyatakan sebaliknya.
Thursday, May 3, 2012
Kenyataan Rasmi DPPKB mengenai BERSIH 3.0
بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ, الحمد لله رب العالمين, وصلى الله وسلم وبارك على نبينا محمد وآله وصحبه أجمعين. السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللَّهِ وَبَرَكَاتُهُ
Kenyataan Rasmi DPPKB mengenai BERSIH 3.0
Dengan nama Allah yang Maha Pemurah, lagi Maha Penyayang.
Seperti yang kita sedia maklum, Perhimpunan Aman Gergasi BERSIH 3.0 telah berlalu hampir seminggu. Kita juga sedia maklum akan apa yang telah berlaku semasa perhimpunan tersebut terutamanya pada saat-saat akhir sebelum para peserta bersurai di mana berlaku pelbagai insiden termasuklah penguatkuasaan yang agak melampaui batas oleh pihak Polis terutamanya terhadap para peserta demonstrasi dan juga warga media.
Dewan Pemuda PAS Batu di sini tidaklah mahu mengulas lebih lanjut mengenai perihal kekacauan yang berlaku dan menyerahkannya kepada kebijaksanaan pucuk pimpinan Parti Islam SeMalaysia (PAS) dan juga Dewan Pemuda PAS Malaysia untuk menjuarai isu tersebut. Cuma, kami ingin menyatakan juga kekesalan kami tentang betapa kekacauan dan keganasan yang berlaku itu sedikit sebanyak telah menenggelamkan hakikat betapa perhimpunan itu telah berlangsung dengan aman dan tenteram serta terkawal selama 13 jam, bermula sejak malam Sabtu sebelum BERSIH. Lebih malang, perisitiwa yang berlaku itu juga menenggelamkan maqasid sebenar himpunan BERSIH 3.0 ini diadakan, iaitu untuk melahirkan unjuk rasa agar 8 tuntutan penambahbaikan sistem pilihanraya oleh SPR dipenuhi dan dilaksanakan.
Selaras dengan ketetapan yang diambil oleh PAS dan Dewan Pemudanya, Dewan Pemuda PAS Kawasan Batu menyeru agar semua pihak tidak lari daripada fokus utama BERSIH 3.0 iaitu MENUNTUT PENAMBAHBAIKAN DAN REFORMASI DALAM SISTEM PILIHANRAYA NEGARA serta menuntut perubahan dalam SPR itu sendiri berdasarkan 8 tuntutan yang telah digaris dan diperjuangkan sekian lama. Dalam masa yang sama, kami mengalu-alukan sebarang bentuk siasatan bebas mengenai kejadian-kejadian yang berlaku semasa BERSIH 3.0, cuma kami tegaskan bahawa sebarang siasatan yang didakwa bebas itu HENDAKLAH BENAR-BENAR BEBAS dan tidak bersifat "melepaskan batuk di tangga". Kita mahu setiap pihak yang bertanggungjawab mencetuskan huru hara ini dihadap ke muka pengadilan tanpa memilih bulu, tidak kira siapa pun atau apakah kepentingan mereka.
Dewan Pemuda PAS Batu juga ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah dan syabas kepada para ahlinya yang bertugas sebagai sukarelawan semasa BERSIH 3.0 iaitu Saudara Abu Bakar, Ustaz Mohamad Noor Kamal, Ustaz Hisyam Yasaa, Ustaz Muhamad Adha, Ustaz Farhan, Ustaz Abdul Kadir, Ustaz Najih, Saudara Zulhaidi, Saudara Mohd Amin, Saudara Ahmad Bahar, dan Saudara Hakimi yang bertindak selaku pembantu perubatan dan Saudara Nurpais Ismail yang bertindak selaku Unit Amal. Juga tidak dilupakan para sahabat yang turut menyertai BERSIH atas pelbagai kapasiti sama ada menerusi gerak kerja Pemuda PAS Pusat, Wilaha Persekutuan mahupun secara individu.
Semoga gerak kerja yang bagus ini berkekalan dan menjadi bekalan untuk kita berhadapan dengan Allah kelak sebagai salah satu amal jariah dan bukti perjuangan kita untuk menegakkan keadilan dan kesaksamaan di dalam Malaysia selaras dengan tuntutan Islam.
Bersama kita terus berjuang memBERSIHkan sistem pilihanraya negara dan seterusnya memBERSIHkan negara daripada kekotoran hasil canaian UMNO-BN.
NURPAIS ISMAIL
Ketua Penerangan
Dewan Pemuda PAS Kawasan Batu
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment