Thursday, July 21, 2011

Menegur Pemerintah - Boleh Atau Tak?


Dalam riwayat al-Tabarani yang dinilai hasan oleh al-Albani: “Muawiyah bin Abi Sufyan r.a (khalifah ketika itu) menaiki mimbar pada hari Jumaat, dia berkata dalam khutbahnya: “Harta ini (kerajaan) adalah harta kami, dan harta fai (yang diperolehi melalui peperangan) juga harta kami. Kami berikan kepada sesiapa yang kami mahu, dan kami tidak berikan kepada sesiapa yang kami mahu”. Tiada seorang pun yang menjawabnya. Apabila tiba jumaat yang kedua, dia mengucapkan perkara yang sama. Tiada siapa pun menjawabnya.

Pada jumaat yang ketiga dia berkata perkara yang sama, lalu seorang lelaki yang hadir dalam masjid itu bangun dan berkata: “Sama sekali tidak! Harta ini adalah harta kami (rakyat) dan fai ini adalah fai kami (rakyat). Sesiapa yang menghalang antaranya dengan kami, kami hukumnya dengan pedang-pedang kami”.

Apabila selesai solat, Muawiyat memerintahkan lelaki itu berjumpa dengannya. Orang ramai berkata: “Habislah dia”. Kemudian orangramai masuk dan mendapati dia duduk bersama Muawiyah di atas tempat duduknya. Muawiyah berkata kepada orang ramai: “Dia ini telah menghidupkanku (memberikan kebahagian), semoga Allah menghidupkannya. Aku mendengar Rasulullah s.a.w bersabda: “Akan ada pemimpin-pemimpin selepasku, mereka itu bercakap tiada siapa pun yang menjawab mereka. Mereka itu terjun ke dalam neraka seperti kera terjun”. Kata Muawiyah: Aku bercakap pada jumaat pertama, tiada siapa pun menjawabku, maka aku takut aku termasuk dalam kalangan mereka. Kemudian pada jumaat yang kedua, tiada siapapun menjawabku, maka aku pun berkata: “Aku termasuk dalam kalangan mereka”. Aku bercakap pada jumaat ketiga lelaki ini bangun menjawabku. Dia hidupkan (bahagiakan) daku, semoga Allah menghidupkannya”.

Itu generasi salaf. Itu khalifah di zaman salaf. Bagaimana pula dikatakan mazhab salaf melarang sama sekali menegur pemerintah di khalayak rakyat?!

No comments:

Post a Comment