Blog ini bukan medan dedah mendedah, jauh sekali lucah melucah. Blog ini adalah wadah ulas mengulas, jelas menjelas, hujah menghujah dan sanggah menyanggah segala isu politikal dan sosial tanahair - dari sudut pandang yang kritis atas kapasiti PERIBADI PENULIS melainkan dinyatakan sebaliknya.
Thursday, July 7, 2011
Bukankah telah bertitah Paduka Raja?
Bukankah telah bertitah Paduka Raja,
bahawa segalanya dipantau selia?
Baik yang kuning atau yang merah menyala,
baik si penguasa yang melunaskan kuasanya.
Tiadalah haram bagi Paduka,
cuma yang tinggal halal belaka?
Bukankah telah bertitah Paduka Raja,
yakinnya baginda pada memanda,
serta mereka yang dibawah kuasa,
untuk mengawal dengan jaya,
untuk menjaga aman sentosa?
Bukankah telah bertitah Paduka Raja,
jangan disubur benci dan murka,
demi usaha menyata suara,
jangan ghairah tidak terkata,
jangan membara tak tentu hala,
kelak nanti badan binasa,
dan tidaklah titah Paduka menyata nama,
baik si manusia mahupun katak durjana?
Bukankah telah bertitah Paduka Raja,
agar didengar kerajaan memanda,
amanah diberi rakyat jelata,
perlu ada adilnya, perlu juga ada bijaksananya,
agar tidak ada sengketa,
baik sesama kita mahupun terhadap memanda,
tak kira asbab dan punca?
Bukankah telah bertitah Paduka Raja,
segala perkara hendaklah dibicara,
musyawarah muhasabah perlu dimula,
adat dan budaya perlu dimulia,
moga tiada hilang yang dikejar, yang dikendong tidak keciciran juga?
Bukankah telah bertitah Paduka Raja,
akan hakikat memenuhkan jalanraya,
banyak yang buruknya walau masih ada baiknya,
walaupun bagus niat dan tujuannya,
tidaklah Paduka menyata nama,
baik yang kuning mahupun merah membara,
kerana rakyat malaysia sama sahaja?
Bukankah telah bertitah Paduka Raja,
agar majukan negara tercinta,
bersama kita rakyat jelata,
menggembleng tenaga serta usaha.
Agar kita kedepan hanya,
dan tidak melihat kebelakang sahaja,
bukankan tak ada bumi yang gersang sentiasa,
lautan tidak ada gelora?
Bukankah telaha bertitah Paduka Raja,
ketika disembah takzim sang peguam india,
ditemani sang aktivis dan sang pujangga,
bahawa lautan kuning tiada haramnya,
bahawa lautan kuning bebas gelora,
walau bukan lepas sepenuhnya,
tuntuan kuning dipertimbang Paduka,
laungan jelata didengari Duli yang Mulia?
Bukankah telah bertitah Paduka Raja,
segala tahanan dilepas segera,
segala rampasan dikembalikan empunya,
tiada lagi tindakan belantara,
semata-mata menjaga kelansungan kuasa,
oleh memanda yang takutkan biasan wajahnya?
Namun kenapa masih ada undang-undang rimba,
menahan merampas fitnah dan dusta,
sekatan halangan merata-rata,
ibarat menanti ribut bencana?
Bukankah lautan kuning aman sentosa,
tiada menyanggah ketuanan Raja,
jauh sekali menerjah kuasa memanda,
yang dipinta keadilan cuma,
ketelusan kebersihan hak jelata,
tuntutan Agama serta manusia bertamadun mulia,
namun kemana janji memanda,
hilang ghaib tak cukup usia,
apakah memanda bercabang lidahnya,
apakah juhalaknya bacul semua?
Bukankah telah bertitah Paduka Raja,
kenapa memanda harus derhaka?
Nurpais Ismail @ Dai-Chen, 7 Julai 2011.
No comments:
Post a Comment