Blog ini bukan medan dedah mendedah, jauh sekali lucah melucah. Blog ini adalah wadah ulas mengulas, jelas menjelas, hujah menghujah dan sanggah menyanggah segala isu politikal dan sosial tanahair - dari sudut pandang yang kritis atas kapasiti PERIBADI PENULIS melainkan dinyatakan sebaliknya.
Wednesday, April 4, 2012
Ketaatan kepada pemimpin itu TIDAK MUTLAK.
بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ, الحمد لله رب العالمين, وصلى الله وسلم وبارك على نبينا محمد وآله وصحبه أجمعين. السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللَّهِ وَبَرَكَاتُهُ
Baru2 ini, aku disoal oleh seorg hamba Allah menerusi inbox Facebook -
"Assalamualaikum, puak UMNO beritahu kita kena taat pada pemimpin. Dia keluarkan dalil dari surah An Nisa ayat 59, 'Taatlah kamu kepada Allah, dan taatlah kamu kepada Rasul, dan orang2 yang berkuasa di kalangan kamu dan sekiranya kamu berbantah bantahan mengenai sesuatu perkara
maka kembalilah kepada Allah(Quran) dan Rasulnya( Hadis)'. "Uthi'ullah" <--- taatlah kamu kepada Allah. "Wa uthi'ur Rasul" <-- dan taatlah kamu kepada Rasul. "Wa ulil amri minkum" <--- dan orang yang berkuasa di kalangan kamu. Bagaimanakah itu?" Sememangnya, ayat ini adalah ayat yang paling popular bagi UMNO untuk menghalang atau membantutkan usaha2 kita untuk menyanggah dan membantah mereka atas alasan "Islam menuntut kita taat kepada pemimpin". Soalnya, apakah benar ayat ini tergunapakai berkenaan UMNO atau maksudnya telah diseleweng?
Pertama sekali, mari kita lihat ayat itu sendiri dahulu. Memang benarlah firman Allah swt, tiada keraguan kepadanya walau sedikitpun. Cuma gaya kita menafsir dan menggunakan dalil2 inilah yg menjadi persoalan. Kalau kita perhatikan, Allah meletakkan perkataan "taatilah" HANYA PADA DUA TEMPAT, iaitu pada Allah (uthi'ullah) dan pada Rasul (uthi'urrasul). Dan kemudian, Allah hanya menyatakan "...dan orang yang berkuasa di kalangan kamu..." tanpa perkataan "taatilah". Mengapa?
Sebab ketaatan kepada pemimpin tidaklah bersifat mutlak. Ketaatan kepada pemimpin walaupun tidak mutlak tetap penting dalam proses pentadbiran dan pengurusan manusia. Tanpa ketaatan, pengurusan akan jadi tidak terurus malah boleh jadi pemimpin akan melakukan semua kerja seorang diri. Apalah ertinya sesuatu pentadbiran kalau arahan pemimpin tidak dipatuhi oleh orang bawahnya.
Walau bagaimanapun ketaatan kepada pemimpin ini ada syarat yang ditetapkan. Maka ketaatan yang dimaksudkan itu boleh gugur apabila pemimpin itu menjurus kepada perkara maksiat atau melanggar syariat. Sabda Rasulullah s.a.w:
لا طَاعَةَ لِمَخْلُوقٍ فِي مَعْصِيَةِ الْخَالِقِ
Maksudnya: Tiada ketaatan terhadap makhluk pada hal-hal maksiat kepada pencipta. (Riwayat Ahmad, Tabarani)
Sebaliknya ketaatan kepada pemimpin adalah pada perkara yang baik sahaja. Sabda Rasulullah s.a.w:
لا طاعة لأحد فى معصية الله إنما الطاعة فى المعروف
Maksudnya: Tiada ketaatan kepada seseorang pada perkara dosa kepada Allah, sesungguhnya ketaatan pada yang baik sahaja. (Riwayat al-Bukhari Muslim dan Abu Daud, Nasai dan Ibn Hibban)
Berdasarkan dua hadis di atas, ketaatan kepada pemimpin di semua peringkat adalah kerana kebaikan pentadbirannya. Ciri-ciri kebaikan seseorg pemimpin ialah:
1.Arahannya tidak bercanggah dengan dasar Islam
2.Dasar dan arahannya memberi manfaat kepada umum/rakyat
3.Arahannya ada maslahah untuk menyelamatkan Islam dan umat
4.Tindakannya tidak merugikan Islam dan umatnya.
Ciri-ciri kebaikan itu jika dirujuk kepada pemimpin negara dan negeri wajiblah kita memberi ketaatan dan jika sebaliknya boleh ditolak. Oleh sebab tidak semua arahan yang datang daripada pemimpin kesukaan kita perlu ditaati dan tidak juga semua arahan yang datang daripada pemimpin yang dibenci boleh ditolak. Semuanya mestilah bersandarkan kepada ciri-ciri di atas.
Bagaimana jika kita melihat pemimpin itu menyeleweng dan melakukan kemungkaran seperti membazir, boros, mencuri harta rakyat dan sebagainya?
Salah satu daripada kewajipan yang telah diperintahkan oleh Allah swt kepada umat Islam ialah memastikan supaya Islam diterapkan secara kaffah (menyeluruh) dalam setiap aspek kehidupan mereka. Kewajipan ini tidak akan dapat dilaksanakan dengan sempurna tanpa adanya kesedaran dalam masyarakat untuk melakukan amar makruf, nahi mungkar. Mengajak kepada kebaikan dan mencegah daripada melakukan kemungkaran merupakan salah satu kewajipan bagi setiap individu muslim. Kewajipan ini telah disebutkan berulang kali dalam banyak nas-nas Al-Quran dan hadis Rasulullah s.a.w. Di antaranya ialah:
“Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan wanita, sebahagian mereka menjadi penolong kepada sebahagian yang lain. Mereka menyuruh berbuat makruf dan mencegah dari yang mungkar, melaksanakan solat, menunaikan zakat, dan taat kepada Allah dan rasulNya. Mereka akan diberi rahmat oleh Allah. Sesungguhnya Allah Maha Perkasa dan Maha Bijaksana” [at-Taubah, 71]
“Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebaikan dan menyuruh berbuat baik dan mencegah dari kemungkaran dan sesungguhnya mereka adalah orang-orang yang beruntung”. [ali-Imran, 104]
“Kalian (umat Islam) adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, (kerana kamu) menyuruh berbuat yang makruf, dan mencegah dari kemungkaran, dan beriman kepada Allah” [ali-Imran, 110]
“Mereka itu adalah orang-orang yang bertaubat, beribadah, memuji Allah, mengembara (demi ilmu dan agama), rukuk, sujud, menyuruh berbuat makruf dan mencegah dari yang mungkar dan yang memelihara hukum-hukum Allah. Dan gembirakanlah orang-orang yang beriman.” [at-Taubah, 112]
Sekiranya diperhatikan dengan saksama, nas-nas berkaitan kewajipan melakukan amar makruf dan nahi mungkar adalah bersifat umum. Ini bermakna mengajak individu muslim untuk melakukan kebaikan adalah wajib, sepertimana mencegah mereka daripada melakukan kemungkaran. Kewajipan tersebut juga perlu dilakukan tanpa mengira kedudukan individu, termasuklah dengan menyeru para pemimpin umat Islam untuk melaksanakan perintah Allah swt dan memuhasabah mereka jika melakukan pelanggaran terhadap perintahNya. Malah,ini merupakan tingkat tertinggi dalam kewajipan amar makruf nahi mungkar kerana pemimpinlah yang berkuasa untuk menerapkan hukum-hukum di dalam negara berdasarkan ideologi yang diyakininya.
Kewajipan untuk mentaati pemimpin sering dijadikan alasan untuk memaksa umat Islam mendiamkan diri terhadap kemungkaran yang dilakukan oleh pemimpin mereka. Seperti yang aku nyatakan di atas, ini adalah satu penyelewengan yg amat dahsyat. Allah swt telah memerintahkan kita untuk memuhasabah pemimpin dalam mengatur urusan umat agar bersesuaian dengan syariat Islam. Allah juga memerintahkan kita untuk menentang segala bentuk penyelewengan dan pengkhianatan mereka terhadap umat, mengabaikan kepentingan umat, menolak hukum-hukum Allah swt atau menerapkan hukum-hukum selain yang disyariatkan di dalam Islam.
Rasulullah s.a.w bersabda, “Akan dilantik para pemimpin yang kamu setujui (kebaikan sebahagian perbuatan mereka) dan kamu akan membantah (kejahatan sebahagian perbuatan mereka). Sesiapa yang membenci (perbuatan munkar) maka dia terlepas (dari dosa), sesiapa yang membantah maka dia selamat (dari dosa), namun (yang berdosa) sesiapa yang redha dan menuruti (perbuatan mungkar)”. Sahabah bertanya: “Tidakkah boleh kami perangi mereka?” Jawab baginda: “Tidak! selagi mana mereka bersolat”(Riwayat Muslim)
Dalam riwayat yang lain, Rasulullah s.a.w turut bersabda, “Pemimpin yang baik ialah pemimpin yang kamu cintai mereka dan mereka mencintai kamu, kamu mendoakan mereka, mereka mendoakan kamu. Pemimpin yang jahat ialah pemimpin yang kamu benci mereka, mereka juga membenci kamu dan kamu melaknat mereka, mereka juga melaknati kamu”. Baginda ditanya: “Tidak bolehkah kami perangi mereka dengan pedang?” Jawab baginda: “Tidak, selagi mana mereka mendirikan solat. Ingatlah, sesiapa yang seseorang penguasa berkuasa ke atasnya, lalu dia dapati penguasa itu melakukan maksiat kepada Allah, maka hendaklah dia membenci maksiat tersebut namun jangan dia mencabut tangan dari ketaatan” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Sila perhatikan petikan "...maka hendaklah dia membenci maksiat tersebut namun jangan dia mencabut tangan dari ketaatan”. Ini juga boleh digunakan oleh puak2 UMNO untuk "mengharamkan" sebarang bentuk penentangan terhadap "pemimpin" dari UMNO. Tapi kita jangan lupa - kita juga taat kepada Perlembagaan Negara kerana Perlembagaan Negara digubal oleh pemimpin2 kita, bukan? Perlembagaan Negara kita membolehkan kita bersuara membantah dan mengkritik serta menentang kerajaan secara aman mengikut lunas2 demokrasi dan saluran politik, waima menerusi perlembagaan ini, kita dibenar menukar peneraju kerajaan pun! Bermakna, jika kita menentang UMNO BN menerusi saluran politik yang ada seperti ceramah, blog, artikel dan lain2 medium yang digariskan bawah lembayung "Demokrasi Berparlimen" yang menjadi ruh kepada Perlembagaan Negara serta berusaha untuk menjatuhkan UMNO BN menerusi Pilihanraya Umum, maka ini dibenarkan oleh syarak atas alasan "kita mengikut undang2 dan perlembagaan yang digubal oleh kepimpinan negara" selagi ianya bukan utk menegakkan sesuatu yang haram menggantikan yang halal seumpamanya.
Jadi, jika "menentang" pemimpin adalah "ditegah" waima menggunakan saluran yang digariskan pemimpin itu sendiri, apa guna wujudkan undang2 demokrasi? Apa gunanya berpolitik?
Rasulullah s.a.w bersabda lagi, “Sesungguhnya selepasku ini akan adanya para pemimpin yang melakukan kezaliman dan pembohongan. Sesiapa masuk kepada mereka lalu membenarkan pembohongan mereka dan menolong kezaliman mereka maka dia bukan dariku dan aku bukan darinya dan dia tidak akan mendatangi telaga (di syurga). Sesiapa yang tidak membenar pembohongan mereka dan tidak menolong kezaliman mereka, maka dia dari kalanganku dan aku dari kalangannya dan dia akan mendatangi telaga (di syurga)." Riwayat Ahmad, al-Nasai, dan al-Tirmidhi. Hadith ini sahih seperti yang dinilai oleh al-Albani.
Dalam aspek "ketaatan kepada pemimpin" ini, kita tidak boleh terlalu literalist atau sekadar menafsirkan sesuatu dalil itu secara harfiah atau "ikut suka kita". Politik bukanlah ibadah khususiah seperti solat dan puasa yang tidak boleh diubah tambah. Politik soal pentadbiran dan kaedah untuk menegakkan keadilan dan keamanan dalam kehidupan rakyat berdasarkan prinsip-prinsip umum Islam. Kaedah membantah atau menukar pemerintahan berbeza-beza berdasarkan sistem yang dipakai.
Para ulama dahulu mengharamkan menumbangkan sesuatu pemerintah atas alasan bimbangkan penumpahan darah. Namun, dalam dunia hari ini sesebuah pemerintah mungkin boleh diubah atau ditukar, atau ditumbang tanpa memerlukan penumpahan darah seperti dalam sistem demokrasi pilihanraya. Maka dengan itu penyertaan parti-parti politik dalam demokrasi pilihanraya tidak boleh dianggap sebagai melanggar kaedah Islam atau sebagai keganasan kerana sistem tersebut tidak sepatutnya menumpahkan darah.
Jadi berdasarkan segala hujah di atas, sekali lagi aku menegaskan bahawa ketaatan kepada pemimpin bukanlah bersifat mutlak. UMNO tidak boleh sewenang2nya menyelewengkan penafsiran al Quran untuk menakut2kan umat Islam agar tidak menentang mereka. Sebaliknya, adalah satu tuntutan bagi kita menentang mereka dengan mengikuti segala lunas undang2 dan perlembagaan yang telah tersedia atas alasan ingin menyelamatkan negara kita daripada hancur lebur dek kerana kebejatan, ketirisan dan penyelewengan yang mereka lakukan.
Dengan hutang negara yang semakin mencanak, dengan projeksi kemuflisan kita adalah pada tahun 2019 jika kebejatan2 ini tidka dibendung, maka tak keterlaluan jika aku katakan "penentangan kita terhadap UMNO dan BN adalah amat dituntut."
Wallahu a'lam.
Seburuk-buruk UMNO yang kamu kata burok.. mereka masih membina Sekolah Agama Rakyat.
ReplyDeleteOrang yang kamu kata sesat, mereka masih membina Masjid dan surau-surau..
Yang kamu kata dia, sekular... Dia boleh bina Maahad Tahfiz Al-Quran.
Tanya pada diri kamu ... Masjid mana yang kamu dah bina, Sekolah Agama Rakyat mana yang kamu bangunkan?
Malah bukan sahaja kamu tidak pernah bina Sekolah Agama Rakyat malah mencerca pula org yg membinanya...