Blog ini bukan medan dedah mendedah, jauh sekali lucah melucah. Blog ini adalah wadah ulas mengulas, jelas menjelas, hujah menghujah dan sanggah menyanggah segala isu politikal dan sosial tanahair - dari sudut pandang yang kritis atas kapasiti PERIBADI PENULIS melainkan dinyatakan sebaliknya.
Wednesday, March 28, 2012
Boleh atau tidak non muslim guna kalimah Allah? part akhir
بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ, الحمد لله رب العالمين, وصلى الله وسلم وبارك على نبينا محمد وآله وصحبه أجمعين. السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللَّهِ وَبَرَكَاتُهُ
Alhamdulillah, bahagian 1 perkongsian ini selamat aku postkan dan mudah2an, ini dapat menjawab serba sedikit persoalan yg melanda kita mengenai penggunaan kalimah Allah oleh non muslim.
Perlu aku ingatkan bahawa aku tidak begitu mahu menyentuh perihal pendapat yg mengatakan "tidak boleh" sebab pendapat sebegini dah seringkali kita dengar. Aku cuma ingin keluar dari khilaf buat sementara waktu dan mengongsikan pendapat2 yg menyatakan "harus" pada hal ini.
Kali ini, kita bincang pengharusannya dari segi dakwah dan perlaksanaan di dalam negara pula.
NAMA ALLAH DARI PERSPEKTIF DAKWAH
Faktor dakwah yang saya maksudkan di sini boleh merujuk kepada Maqasid Shariah yang pertama iaitu ‘mempertahankan Islam' (Hifdzu ad-Din). Menurut Imam As-Syatibi, mempertahankan aqidah Islam adalah wajib dalam dua bentuk iaitu:-
1) Mengukuhkan aqidah Islam melalui ajaran, ajakan dan sebaran kefahaman tauhid yang betul.
2) Mempertahankan aqidah Islam dari penyelewangan, pengeliruan dan gangguan gerakan bukan Islam.
Apabila aku merujuk kepada penulisan beberapa tokoh dan ilmuan di Malaysia dalam isu penggunaan nama Allah ini, aku melihat majoriti mereka mencampur adukkan fokus dan penyataan hukum disebabkan terpengaruh dengan faktor kedua ini. Mereka banyak mengulas dalam konteks ini berbanding konteks hukum asal dan asas.
Sebagai contoh:-
Prof Madya Dr Khadijah Hambali (http://www.misgonline.com/index.php?option=com_content&view=article&id=431:perbezaan-penggunaan-kalimah-allah-dalam-agama-islam-dan-kristian&catid=126:januari-2010&Itemid=300078) dalam tulisannya membuktikan TIDAK BENARNYA dakwaan Kristian dan rasional mereka yang ingin menggunakan nama Allah kerana nama itu yang wujud di dalam kitab bible asli mereka. Beliau membawakan petikan-petikan yang membuktikan hujahnya. Di samping itu, beliau juga mengulas ketidakwajaran terjemahan God kepada Allah dari sudut bahasa dan mempertikaikan rujukan Kristian dalam hal ini.
Aku bersetuju dengan hujjah Dr Khadijah ini, namun perlu difahami apa yang dibawakan oleh Dr Khadijah sebenarnya lebih cenderung kepada faktor dan objektif dakwah, kerana ia jelas memperlihatkan beliau menolak keharusan (penggunaan nama Allah oleh Kristian), melalui kaedah menghancurkan hujjah Kristian, selain menimbulkan keraguan kepada sumber rujukan Kristian itu sendiri. Aku tidak melihat beliau mengulas dari perspektif hukum Islam berasaskan dalil-dalil al-Quran tetapi beliau berusaha mematikan alasan kumpulan Kristian agar melaluinya diharap dapat melunturkan keinginan Kristian untuk meneruskan permohonannya. Ini bermakna Dr Khadjiah menolak atas dasar dan rasional untuk mempertahankan dakwah Islam dan aqidah Islam dalam konteks semasa, bukan atas hujjah teks Al-Quran dan Hadis secara specifik. Ia jelas cara seorang pendakwah mengemukakan hujahan balas kepada pihak bertentangan. Kesimpulannya, hukum larangan dan bantahan yang dikemukan oleh Dr Khadijah berpaksikan hujjah dan maqasid dakwah dan situasi setempat dan bukan hujjah menafikan hukum asal keharusan.
Ada juga yang penulis yang berhujjah termasuk Dr Khadijah dan ramai lagi penulis lain, menyatakan bahawa kebenaran TIDAK BOLEH diberi kerana Kristian menggunakan nama ALLAH PADA KONTEKS DAN MASKUD YANG SALAH, seperti dikaitkan sebagai Tuhan bapa, mensyirikanNya dan sebagainya.
Bagi aku ini bukanlah hujjah yang betul untuk melarang, kerana JIKA semua penganut Kristian menggunakan Nama Allah pada tempat yang betul maka tidaklah mereka menjadi Kristian, lalu mereka akan seolah mengikut Islam secara paksaan pula. Bukankah mereka bukan Islam dan mempunyai keyakinan agama tersendiri?. Maka kita tidak boleh memaksa mereka untuk mengikut penggunaan nama Allah pada tempat yang betul menurut aqidah Islam kerana mereka BUKAN ISLAM (atau belum). Apa yang boleh dilarang adalah MENYEBAR KEKELIRUAN DAN AJARAN SALAH MEREKA (MENURUT PERTIMBANGAN AQIDAH ISLAM) ITU KEPADA UMAT ISLAM.
Dato' Dr Haron Din, dalam rakaman penjelasannya memperlihatkan beliau menolak dan memberi amaran atas dasar maslahat dakwah dan bukan sangat bergantung kepada teks al-Quran dan Hadis.
Tulisan Dr. Syed Tawfiq Al-Attas (http://www.myislamnetwork.net/component/content/article/2-e-akhbar/49-menelusuri-kemelut-kalimah-oleh-datuk-dr-syed-ali-tawfik-al-attas.html), yang juga jelas memperlihatkan ulasannya menolak rasional terjemahan God kepada Allah dari sudut bahasa. Selain itu, beliau juga menolak alasan Kristian yang kononnya cuba merujuk kepada Bible. Kedua-dua bantahan Dr Syed ini bukanlah ulasan dari perspektif hukum dan Aqidah Islam tetapi lebih kepada mematikan alasan Kristian, sama seperti Dr Khadijah. Justeru, tulisannya lebih mirip sebuah tulisan terpengaruh dengan objektif dakwah. Ia lebih kepada sebab dakwah dan bukan hujjah teks Al-Quran secara specifik. Hukum larangan yang diletakkan oleh Dr Syed ini jelas berpaksikan hujjah dan maqasid dakwah dan situasi setempat sebenarnya.
Hal yang sama juga boleh dilihat dalam tulisan Pegawai JAKIM, Ust Aizam Mas'oud. Yang dengan jelas penulisannya berobjektif dakwah berbanding menjelaskan hukum asal. Dari 5 hujjah yang dikemukakan hampir kesemuanya membantah melalui bangkangan hujjah dan alasan Kristian. Hanya satu sahaja ulasan mengulas teks Al-Qurqan, beliau menyertakan dua hujjah menolak. Namun kedua-duanya tidak kukuh tapi tidak sempat untuk saya ulas di kesempatan ini.
Begitulah juga Fatwa Majlis Fatwa Kebangsaan dalam fatwa tahun 2008, pandangan Ketua Pengarah JAKIM dan hampir semua pegawai-pegawai JAKIM dan IKIM yang lain. Semua mereka bagi aku, mengulas dari sudut realiti dakwah, situasi khas di Malaysia dan berobjektif mempertahankan dakwah dalam konteks dan situasi khusus Malaysia. Ia bukan mengulas dari sudut hukum asal dari teks Al-Quran.
Perkara yg penting di sini adalah penekanan bahawa hukum asal adalah HARUS, TETAPI realiti dan konteks semasa dakwah di Malaysia BOLEH menghasilkan keputusan ijtihad yang berbeza, iaitu LARANGAN.
Namun begitu, walapun larangan telah difatwakan secara rasmi oleh Majlis fatwa dan disokong oleh Institusi keagamaan rasmi dalam negara, ia tetap sebagai sebuah ijtihad. Ijtihad hasil penelitian konsep mudarat dan manfaat kepada umat Islam dan keharmonian rakyat.
Oleh kerana itu, pertimbangan seseorang dan sesuatu organisasi dengan yang lain, dalam melihat kesan manfaat dan mudarat mungkin berbeza. Hasilnya, beberapa ilmuan seperti Dr Mohd Asri, YB Khalid Samad, Dr Dzulkefli Ahmad, dan parti politik seperti PAS, PKR dan sebagainya terus berpegang dengan hukum asal, iaitu membenar dan mengharuskan orang Kristian untuk menggunakan kalimah Allah tersebut. Jangan pula meletakkan syarat agar "Kristian TIDAK MENYELEWENGKAN penggunaan nama Allah", ini kerana seleweng mengikut piawaian kita tidak sama dengan penyelewengan mengikut piawaian mereka. Justeru, syarat perlu konkrit dan jelas.
Oleh itu, kalau ada mana-mana pimpinan PAS atau PKR yang kurang bersetuju dengan keputusan kerajaan untuk melarang, mereka sebenarnya tidak perlu berhujjah dari sudut hukum asal lagi, kerana itu sudah diketahui dan sememangnya majoriti ulama membenarkan, apa yang mereka perlu nyatakan adalah bagaimana mekanisme dan cara bagi mengawal ketakutan dan kebimbangan dokumen seperti gambar ini dari disebar kepada umat Islam yang berada dalam keadaan lemah ilmu hari ini.
Memang benar, Kristian hanya minta untuk akhbar 'The Herald' dan bukan untuk bahan bertulis yang lain atau gereja. tetapi itulah yang dibimbangi, kebenaran ini dijadikan batu loncatan dan asas kepada permohonan yang lain-lain selepas ini. Apakah jaminan yang mampu diberi oleh kumpulan ulama dan institusi yang menyokong bahawa ia TIDAK AKAN merebak kepada yang lain?
Kita semua memang mengakui, keperluan mengukuhkan ilmu agar menjadi benteng aqidah dan bukan semata-mata larang itu dan ini, namun larangan ini adalah salah satu dari pendekatan siyasah yang dirasakan sesuai oleh Majlis Fatwa Kebangsaan di ketika ini.
Mengapa berbeza?
Kerana pertimbangan dan penilaian setempat mereka yang berbeza. Bagi aku, perbezaan mereka bukan isu besar sehingga boleh membawa kufur, ia perbezaaan dalam ijtihad menilai keadaan dan situasi sahaja.
Siapa yang lebih rajih dan kukuh?
Jawabnya muzakarah perlu diadakan bagi kedua-dua pihak mengemukan telahan dan penelitian mudarat dan manfaat yang dilihat dan dikenalpasti. Mungkin sahaja satu pihak tidak terlihat dan tersedar manfaat dan mudarat yang dilihat oleh pihak yang lain. Melalui cara tersebut resolusi yang terbaik akan dapat dihasilkan. Insya Allah.
AL-QARADAWI DAN AZ-ZUHAYLI KATA BOLEH, BAGAIMANA?
Pandangan Syeikh Al-Qaradawi dan Wahbah Az-Zuhayli yang membenarkan Kristian menggunakan Kalimah Allah sebagai merujuk kepada Tuhan, adalah tepat tetapi fatwa mereka tidak sesuai digunakan untuk menyokong keputusan pihak yang membenarkannya di Malaysia, ini kerana hukum asal sememangnya HARUS sebagaimana yang telah saya datangkan hujjahnya di atas tadi.
Kedua-dua Syeikh ini sebenarnya memberi pandangan hukum asal berdasarkan teks nas dan hadis, namun mereka tidak mempunyai autoriti yang cukup dari sudut memahami realiti dan konteks khas di Malaysia. Justeru, pandangan ulama-ulama luar Negara dalam konteks ini tidak begitu tepat untuk dijadikan rujukan.
NAMA ALLAH DARI PERSPEKTIF KUASA KERAJAAN (SIYASAH SYAR'IYYAH)
Setelah kita lihat hukum pengunaan nama Allah dari dua perspektif iaitu hukum asal dan fleksibilitinya atas alasan maslahat dan mudarat dari perspektif dakwah.
Jika sekiranya mudarat melebihi manfaat, adakah kerajaan selaku pemerintah berhak dan dibenarkan oleh hukum Islam untuk melarang Kristian dari menterjemahkan kalimah God kepada Allah?. Ini persoalan ketiga, perspektif ketiga.
Ringkasan jawapan, kerajaan dibenarkan menggunakan kuasa dalam hal ini. Dan peruntukkan kuasa itu sememangnya diakui di dalam undang-undang Islam. Saya tidak ingin mengulas lanjut keharusan ini bagi mengelakkan artikel ini terlalu panjang. Cukuplah saya ingin membawa pembaca kepada ringkasan ulasan saya yang terdahulu dalam bab ini. Rujuk sini
KESIMPULANNYA
Kesimpulan tulisan ini adalah :-
1- Tiada dalil qati'e yang putus sebagai asas dan indikasi hukum bagi penganut Kristian dan bukan Islam menggunakan nama Allah bagi merujuk kepada Tuhan.
2- Terdapat banyak dalil Al-Quran yang bersifat zhonniyah ad-dalalah yang menunjukkan KEHARUSAN bagi penganut Kristian dan bukan Islam menggunakan Nama Allah bagi merujuk kepada Tuhan. Ia adalah pandangan majoriti ulama termasuk Syeikh Dr Yusuf Al-Qaradawi, Dr Wahbah Az-Zuhayli dan lainnya.
Terdapat juga beberapa kumpulan ulama cenderung kepada hukum haram, namun kebanyakan hujjahnya bercampur baur antara hujjah teks al-Quran dan hujjah maslahat dan dakwah. Justeru, melalui penelitian saya, pandangan yang melarang adalah lemah jika ditinjau dari perspektif argumentasi teks Al-Quran. Namun larangan boleh dibuat atas dasar masalah dakwah yang khusus di Malaysia.
3- Ulama tanahair terbahagi kepada dua kumpulan dalam menentukan keharusan atau pengharaman dari perspektif dakwah dan melihat situasi khas di Malaysia. Majlis Fatwa dan yang bersamanya kelihatan mengharamkan manakala PAS, PKR dan individu masih menganggapnya sebagai HARUS dengan syarat-syarat tertentu. Melalui penilitian saya dalam konteks khusus di Malaysia, saya cenderung bersama Majlis Fatwa Kebangsaan dalam hal ini. Namun saya tidak melihat pandangan mereka yang membenarkan dengan syarat sebagai salah kerana ia merupakan sebuah isu ijtihadi dalam menilai mudarat dan manfaat. Perbezaan telahan dalam hal ini sememangnya sukar dielakkan.
4- Jikalau keputusan mahkamah (selepas rayuan) tetap mengizinkan penerbit Kristian menterjemah kalimah ‘God' kepada Allah dalam penerbitan mereka. Saya bersetuju dengan pandangan pelbagai pihak yang mencadangkan agar Kerajaan mengadakan segera muzakarah dan dialog di antara ulama, pakar undang-undang dan pihak Kristian bagi memastikan kebenaran itu tidak digunakan untuk mengelirukan umat Islam dan segala penulisan dihadkan kepada penganut Kristian semata-mata. Tatkala itu syarat-syarat dan perjanjian perlu dibuat bagi menjaga kehamonian masyarakat dalam Negara.
Jadi, terpulang kepada kita. Kalau ada pihak yg kata "boleh", maka tak selayaknya kita kata depa gadai akidah sbb inilah hukum yg asal. Tapi perlaksanaannya? Terpulang.
Ini benda khilafiah. Kita keluar dari khilaf. Tidak ada masalah.
No comments:
Post a Comment